24 maut dalam serangan bersenjata di Nigeria

Iklan
Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang komuniti Bin-Per di Plateau, Nigeria. Foto Reuters

LAGOS (Nigeria) - Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang komuniti Bin-Per di Plateau, Nigeria, dalam insiden keganasan terbaharu di wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut mangsa yang terselamat, penyerang menyerbu komuniti berkenaan di Daerah Kombun, Kawasan Kerajaan Tempatan Mangu lewat Isnin dan meneruskan serangan hingga awal pagi Selasa dengan bergerak dari rumah ke rumah.

Iklan
Iklan

Presiden Persatuan Pembangunan Mangu Bulus Dabit berkata, serangan berlaku sekitar tengah malam ketika penduduk sedang tidur.

"Kami sedang tidur apabila terdengar jeritan penduduk di kawasan kejiranan,” kata seorang penduduk, Mathew Joseph kepada Anadolu.

Iklan

"Saya melihat beberapa lelaki bersenjata menghampiri rumah saya sebelum berjaya melarikan diri,” katanya.

Ahli Dewan Perhimpunan Negeri Plateau yang mewakili Mangu Selatan, Matthew Sylvester Kwarpo berkata, serangan itu turut menyebabkan 38 rumah dibakar, selain memusnahkan tanah pertanian, bijirin simpanan dan barangan berharga lain.

Iklan

Beliau menggesa agensi keselamatan memperkukuh risikan dan pengawasan serta memastikan anggota dikerahkan segera ke komuniti yang terdedah kepada serangan.

Kwarpo turut meminta bantuan kecemasan termasuk makanan, tempat perlindungan dan sokongan perubatan disalurkan kepada penduduk terjejas.

Gabenor Plateau Caleb Mutfwang mengecam serangan itu dan mengarahkan agensi keselamatan meningkatkan pengawasan serta rondaan di Bin-Per dan komuniti lain yang terdedah kepada serangan.

Beliau turut menyeru penduduk supaya bertenang dan mengelakkan serangan balas, selain menyalurkan maklumat kepada pihak keselamatan bagi membantu mengenal pasti dan menahan mereka yang bertanggungjawab.

Polis Plateau Alfred Alabo mengesahkan serangan itu dan berkata Pesuruhjaya Polis Faniyan Ayodeji bersama pasukannya telah menilai keadaan. - Bernama