Tiga sekeluarga maut dilanggar lori imigresen

Iklan
Lori JIM yang dipercayai terbabas sebelum merempuh beberapa individu dalam kemalangan awal pagi Rabu.

KUALA LUMPUR - Tiga sekeluarga maut dipercayai dilanggar lori milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terbabas dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan empat pejalan kaki di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika lori Isuzu Black Maria tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lori berkenaan dipandu lelaki berusia 43 tahun bagi tujuan mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, manakala lampu beacon dan siren diaktifkan.

Iklan

"Pada masa sama, sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau sebelum dipercayai tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran di tengah persimpangan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Iklan

"Ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah seorang lelaki berusia 53 tahun yang merupakan bapa, selain dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 tahun dan 12 tahun.

"Isteri kepada mangsa lelaki berkenaan dan ibu kepada kedua-dua mangsa perempuan berusia 55 tahun, turut dilanggar dan mengalami kecederaan pada kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki," katanya.

Mohd Zamzuri berkata, wanita berkenaan dihantar ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tambahnya, ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Polis telah menahan pemandu lori JIM dan pemandu Proton Saga bagi membantu siasatan.

"Ujian pernafasan bagi mengesan kandungan alkohol serta ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu mendapati keputusan negatif," katanya.

Beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengesan saksi bebas serta membawa kenderaan terlibat untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.