Kemalangan sekelip mata, derita keluarga sepanjang hayat

Iklan
Kecuaian di jalan raya boleh mengubah kehidupan orang lain. - Imej janaan AI

KEMALANGAN jalan raya mungkin hanya beberapa saat untuk berlaku, tetapi impaknya boleh mengubah kehidupan sebuah keluarga buat selama-lamanya.

Lihat sahaja kesan yang dialami seorang ibu hamil bersama anaknya apabila terbabit dalam kemalangan dengan motosikal ditunggang peserta RXZ Members 8.0 di lampu isyarat Buluh Gading, Kuala Terengganu 31 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Suami mangsa, Talhah Mahmud, 61, memberitahu, kejadian pada jam 11.50 pagi itu menyebabkan isterinya Syafirah Salim, 36, yang hamil tujuh bulan melecur pada kedua-dua tangan sementara anak sulung, Ahmad Asyraf, 13, melecur 60 peratus dari bahagian pinggang hingga ke bawah.

Kejadian itu pasti memberi kesan buat mereka sekeluarga kerana terpaksa mengeluarkan belanja bagi rawatan hospital.

Iklan

Bagaimana pula dengan kemalangan maut kerana perjalanan hidup terhenti di tempat kejadian.

Bil masih perlu dibayar, anak-anak masih perlu makan dan bersekolah, manakala sewa rumah tetap menunggu setiap bulan.

Iklan

Justeru, perbincangan mengenai pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya perlu dilihat lebih jauh daripada soal sejumlah wang yang dibayar selepas sesuatu kes diputuskan.

Bagaimanapun, sistem yang lebih baik sekurang-kurangnya dapat memastikan keluarga tidak terjerumus ke dalam kesusahan selepas kehilangan orang tersayang.

Kemalangan bukan sekadar cerita tentang sebuah kenderaan yang remuk atau nyawa yang terkorban.

Sebab itu, apabila kemalangan dilaporkan, jangan hanya bertanya siapa yang bersalah dan siapa yang maut.

Secara umum, waris boleh mendapatkan nasihat peguam untuk mempertimbangkan tuntutan sivil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Ia termasuk pemandu, pemilik kenderaan atau pihak lain yang mempunyai liabiliti, bergantung kepada fakta kes malah tuntutan juga boleh melibatkan perlindungan insurans kenderaan.

Dalam kes ini, mana-mana suspek yang terlibat dalam kecelakaan jalan raya, akan berdepan tindakan undang-undang antaranya mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Itulah yang berlaku kepada pekerja kebun, Md Habibullah, 28, yang dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 24 Julai lalu.

Dia berdepan satu pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Jafni Baharudin, 29, di simpang empat lampu isyarat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam di sini pada jam 8.23 malam, 21 Julai lalu.

Bagi kes mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, peruntukan ini pula berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.

Itulah yang berlaku kepada pemandu kereta Perodua Aruz, Mohd Norazlan Mohd Tamyiz, 42, yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian tiga beranak.

Terbaharu kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi R Saktygaanapathy, 28, yang terlibat dalam kemalangan maut sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal melambung dan terjatuh di atas sebuah kereta.

Kecuaian di jalan raya boleh mengubah kehidupan orang lain. Nyawa manusia bukan sesuatu yang boleh diganti, justeru jadikan tragedi itu pengajaran agar kesilapan sama tidak berulang.

Buat waris mangsa pula, jangan memikul beban tragedi seorang diri, dapatkan nasihat undang-undang bagi tuntutan pampasan, insurans, kos rawatan, kehilangan pendapatan dan sebagainya.

*Noor Azlida Alimin ialah wartawan Sinar Harian