Cef muda memasak di tengah runtuhan di Gaza

Iklan
Ayad berkebolehan untuk menyediakan hidangan tradisional komuniti Palestin.

GENTING GAZA - Di tengah-tengah timbunan konkrit yang hancur dan besi tetulang yang berpintal di utara Genting Gaza, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun tekun menyediakan hidangan tradisional Palestin menggunakan dapur kayu api.

Yasser Ayad muncul sebagai ikon kulinari yang tidak dijangka di platform media sosial global dengan mendokumentasikan usahanya memasak hidangan berkualiti tinggi di wilayah itu yang berdepan sekatan ketat dan kemusnahan infrastruktur yang dahsyat.

Iklan
Iklan

Dapurnya bukanlah ruang yang sempurna, sebaliknya sebuah kawasan memasak sementara yang dibina di tapak rumah keluarganya yang musnah dibedil rejim Zionis.

Dengan kemahiran yang dimilikinya, dia mampu menyediakan hidangan tradisional seperti maqluba dan musakhan yang memerlukan kawalan suhu tepat serta campuran rempah tertentu yang semakin sukar didapati di Gaza.

Iklan

Video memasak yang dikongsikan Ayad meraih jutaan tontonan di platform media sosial.

Di sebalik kempen Ayad yang tular itu tersimpan kisah yang amat peribadi. Menerusi kapsyen videonya, dia sering mengenang arwah bapanya yang terkorban dalam konflik, insan yang telah menyemai dalam dirinya minat mendalam terhadap dunia masakan.

Iklan

“Jika ayah saya masih ada hari ini, dia pasti akan membantu saya,” kata Ayad yang melihat aktiviti memasak sebagai cara untuk mengekalkan kenangan dan kasih sayang terhadap arwah bapanya.

Perkongsian Ayad di platform media sosial telah merentasi sempadan geografi dan mendapat sambutan mendalam daripada golongan muda di seluruh benua Afrika yang turut berdepan persilangan antara konflik dan kekurangan sumber.

Di kawasan seperti timur Republik Demokratik Congo dan Sahel, golongan muda turut menggunakan teknologi mudah alih untuk mendokumentasikan realiti kehidupan mereka serta memintas penguasaan media tradisional.

Dapur sementara Ayad berdiri sebagai simbol ketabahan dan harapan.

Kisah Ayad memperlihatkan bagaimana makanan boleh menjadi bahasa sejagat untuk melawan, mengenang dan mengekalkan identiti selain komitmennya terhadap warisan gastronomi Palestin.

Perjuangannya turut menekankan kepentingan melindungi sistem makanan sebagai sebahagian daripada keselamatan komuniti dan kelangsungan budaya.

Ketika krisis kemanusiaan di Gaza terus menjadi tumpuan agenda diplomatik antarabangsa, dapur sementara Ayad berdiri sebagai simbol ketabahan dan harapan.

Dia bukan sekadar menyediakan makanan untuk meneruskan kehidupan malah menggunakan masakan sebagai medium untuk menyampaikan kisahnya kepada dunia.

Usahanya membuktikan bahawa di sebalik kebinasaan teruk, semangat manusia untuk bertahan, memelihara warisan dan mengabadikan kenangan tetap tidak mudah dipadamkan. - Agensi