GUA MUSANG - Penantian lapan tahun untuk melihat orkid harimau miliknya kembali berbunga membuatkan seorang penduduk Orang Asli Kampung Redip, di sini enggan menjual tumbuhan itu walaupun ada yang berminat untuk membelinya.
Pekebun kecil, Razali Ayeh, 51, berkata, orkid harimau atau nama saintifiknya Grammatophyllum speciosum yang ditanam sejak 2011 itu berbunga buat kali kedua dengan kelopak bercorak belang yang menarik perhatian ramai.
"Saya dan penduduk teruja untuk menunggu ia berbunga. Sebelum ini ia pernah berbunga buat pertama kali pada 2018 dan untuk tahun ini ia mengeluarkan kelopak bercorak belang yang sangat cantik buat kali kedua," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Redip.