BALING - Kerajaan Negeri Kedah akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran merayu sekali gus mengekalkan keputusan bahawa tindakan memperbaharui lesen premis judi adalah tidak berperlembagaan dan di luar bidang kuasa negeri.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor bagaimanapun menegaskan pendirian peribadinya tetap mematuhi perintah Tuhan dalam mencegah kemungkaran.
Beliau berkata demikian kepada media ketika melancarkan Pecah Tanah Pembinaan Kolej Kediaman Pelajar Universiti Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil di sini pada Selasa.
Beliau turut menegaskan pendiriannya itu bukan menafikan hak golongan bukan Islam, sebaliknya menyekat perkara yang dianggap mungkar.
“Kalau saya reda dengan mungkar, saya dosa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kerajaan negeri akan mendapatkan penerangan daripada pasukan peguam berhubung keputusan berkenaan.
“Ada rancangan...peguam bagi penjelasan keputusan itu dari sudut undang-undang. Saya tak bolehlah nak bagi, kan? Dari sudut undang-undang, saya tak ada kepakaran itu, peguam yang akan bagi...apa kesan dia, apa yang mengikat kita, apa yang boleh, apa yang tak boleh,” katanya.
Sebelum ini, panel tiga hakim yang dipimpin Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan Kedah.
Mahkamah menetapkan isu kawal selia perjudian tertakluk kepada undang-undang Persekutuan (Akta Rumah Judi Terbuka 1953).
Tindakan kerajaan negeri menolak lesen premis dianggap ultra vires (di luar kuasa) dan tidak selaras dengan Perlembagaan.