Sindiket minyak sembahyang guna minyak masak subsidi terbongkar

Iklan
Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan.

KUALA LUMPUR - Sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dikesan menggunakan taktik membeli minyak paket sebelum menggunting dan memindahkannya ke dalam botol untuk dijual sebagai minyak sembahyang.

Taktik itu terbongkar susulan empat serbuan berasingan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur di sekitar ibu negara pada Selasa.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, operasi menerusi Ops Tiris 4.0 itu membawa kepada pembongkaran tiga kes saling berkait dengan keseluruhan rampasan sembilan tan minyak masak dianggarkan bernilai RM165,000.

"Taktik yang digunakan sindiket ini adalah dengan membeli bekalan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram daripada pembungkus dan pemborong sebelum memotong peket berkenaan secara manual untuk dibotolkan semula," katanya dalam sidang akhbar di salah satu daripada empat lokasi serbuan di sini pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Shahran berkata, minyak masak yang dipindahkan ke dalam botol bersaiz satu, dua, lima hingga 15 kilogram itu kemudian dijual sebagai minyak sembahyang.

Antara barangan yang dirampas.

Iklan

"Minyak berkenaan dijual tanpa campuran sebarang bahan, manakala sebahagian lagi dicampur sedikit bahan tambahan sebelum dipasarkan kepada peruncit di sekitar Lembah Klang," katanya.

Menurutnya, sindiket berkenaan mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan membeli minyak paket bersubsidi pada harga RM2.45 seliter sebelum menjualnya semula sebagai minyak sembahyang pada harga sekitar RM7.50 seliter.

"Keuntungan bersih yang diperoleh adalah sekitar RM4 bagi setiap liter.

"Bagi satu premis sahaja, dianggarkan sebanyak 200 botol atau hampir satu tan minyak masak bersubsidi diproses sehari. Premis terbabit dipercayai telah beroperasi secara haram sejak enam bulan lalu," katanya.

Mohd Shahran berkata, dalam keempat-empat serbuan itu, KPDN Kuala Lumpur turut menahan lima individu berusia antara 30 hingga 35 tahun.

"Mereka terdiri daripada tiga warga India, seorang warga Sri Lanka dan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu van.

"Dalang utama kegiatan berkenaan disyaki merupakan pemborong berlesen yang bertanggungjawab menguruskan rantaian bekalan dan pengedaran ke semua premis terbabit dan masih dikesan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan label tidak berdaftar.

"Kita juga akan mengesyorkan pembatalan lesen terhadap pemborong terbabit sekiranya didapati mempunyai kaitan dengan kegiatan penyelewengan berkenaan," katanya.