Pelajar Tingkatan Lima disyaki belasah junior sampai masuk hospital direman dua hari

Iklan
Kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi pada Jumaat ketika mangsa sedang membersihkan papan putih di dalam kelas.

ALOR GAJAH – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima di sebuah sekolah menengah di Pulau Sebang di sini direman dua hari selepas disyaki membelasah pelajar Tingkatan Empat hingga dimasukkan ke wad dalam kejadian Jumaat lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 17 tahun itu dibenarkan Mahkamah Majistret Alor Gajah sehingga 19 Ogos ini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi ketika mangsa sedang membersihkan papan putih di dalam kelas sebelum didatangi suspek.

Menurutnya, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa selepas mangsa dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

Iklan

“Suspek kemudian dikatakan meluahkan rasa tidak puas hati kepada mangsa sebelum melakukan kekasaran tersebut.

“Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada bapanya sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Ampat, tetapi dirujuk ke Hospital Melaka dan ditahan di wad selama sehari untuk pemeriksaan lanjut,” katanya pada Selasa.

Iklan

Katanya, bapa mangsa kemudian membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan reman suspek selama dua hari.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana memukul sehingga mendatangkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah.