SHAH ALAM - MCA mengulangi pendirian bahawa peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen harus disalurkan secara adil tanpa mengambil kira parti diwakili wakil rakyat termasuk pembangkang.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, gesaan ini juga selari dengan seruan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk memberi peruntukan kawasan yang sama rata bagi wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
“Justeru itu, MCA berharap bahawa peruntukan tambahan ini akan dimanfaatkan Kerajaan Madani untuk membuktikan keikhlasan dan komitmen kepada keadilan, ketelusan dan prinsip reformasi.
“Seperti yang diperjuangkan mereka dengan memastikan akses sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa syarat-syarat politik atau diskriminasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan tambahan RM1 juta peruntukan disalurkan bagi setiap kawasan Parlimen.
Beliau berkata, peruntukan itu tidak disalur menerusi ahli Parlimen, sebaliknya menerusi agensi bertanggungjawab untuk menyelesaikan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing.
Mengulas lanjut, Jeck Seng berkata, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik pada 2021 antara kerajaan pusat dengan PH pada ketika itu juga telah memastikan peruntukan kawasan diinstitusikan yang adil kepada semua ahli Parlimen.
Namun katanya, tindakan Anwar sejak berkuasa disifatkan bercanggah dengan tuntutan dan komitmen PH apabila enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diwajibkan mengisytiharkan sokongan politik kepada Perdana Menteri demi menerima peruntukan.
Selain itu, tiga Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut dinafikan akses kepada portal MyKhas disebabkan pertikaian dalaman parti sendiri.