SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 24 Ogos ini untuk memutuskan saman pemula yang difailkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan bagi mendapatkan perintah pengosongan serta-merta Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Undang Sungei Ujong.
Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Muhammad Hariz Md Yusoff, yang mewakili kerajaan negeri, serta peguam, Choo Shi Jin mewakili Abdul Rahim Yasin dan peguam Asmawi Ismail, yang bertindak bagi pihak Datuk Mubarak Thahak.
Kerajaan Negeri Sembilan selaku pemohon memfailkan saman pemula terhadap Abdul Rahim serta Mubarak secara berasingan pada 16 dan 17 Julai lepas.
Turut dinamakan sebagai responden ialah penghuni atau individu yang menduduki Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Balai dan Kediaman Rasmi Undang Sungei Ujong.
Menerusi saman pemula itu, kerajaan negeri sebagai pemilik premis memohon perintah bahawa ia berhak kepada milikan kosong keempat-empat premis serta deklarasi bahawa responden dan mana-mana penghuni yang masih menduduki premis itu tanpa hak, lesen atau kebenaran daripada pemohon adalah penceroboh dan tidak mempunyai hak untuk terus mendudukinya.
Turut dimohon perintah supaya kesemua responden dengan serta-merta mengosongkan dan menyerahkan milikan kosong premis berkenaan kepada kerajaan negeri.
Terdahulu, Muhammad Hariz berhujah, Kerajaan Negeri Sembilan mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan saman itu mengikut Seksyen 22(1) Akta Prosiding Kerajaan dibaca bersama tafsiran Seksyen-Seksyen 5, 16(1)(c) dan 40 peruntukan keseluruhan di dalam Kanun Tanah Negara.
Beliau berkata, notis masing-masing bertarikh 29 April dan 29 Jun lepas telah dikeluarkan bagi mengarahkan pengosongan segera premis berkenaan namun responden masih mendudukinya sehingga kini.
Muhammad Hariz berkata, Abdul Rahim menduduki Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau berdasarkan kebenaran atau lesen yang diberikan sebelum ini atas kapasiti beliau sebagai Undang Luak Rembau.
Beliau berkata, Perutusan Rasmi Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 1 Ogos 2026 telah memuktamadkan kedudukan berhubung individu yang sah menyandang jawatan Undang Luak Rembau.
"Sehingga kini, pihak pemohon tidak dapat mengakses premis kerajaan itu hampir 50 hari," katanya yang dibantu Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan Ala'uddin Baharom dan peguam Ahmad Khalil Md Rofiee.
Sementara itu, Shi Jin yang membantah saman pemula berkenaan berkata pemohon bukanlah pihak yang tepat bagi memulakan tindakan tersebut memandangkan kawalan serta pentadbiran tanah negeri terletak di bawah bidang kuasa Pengarah Tanah dan Galian Negeri, bukannya kerajaan negeri.
"Malah, berdasarkan kes pemohon sendiri, tiada hak pemilikan terletak pada pemohon kerana premis berkenaan adalah tanah negeri yang belum diberi milik dan tidak mempunyai pemilik berdaftar, serta tanggungjawab penjagaan dan penyelengaraan kawasan rizab itu, berdasarkan pemakluman warta pemohon sendiri, adalah terletak pada Pegawai Daerah Rembau dan bukan pemohon,” katanya.
Asmawil, yang sependapat dengan Shi Jin, pula berhujah bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tindakan saman itu.- Bernama