Bekas banduan rempuh dua Lans Koperal ketika cuba seludup PATI

Iklan
Tekong yang juga bekas banduan ditahan selepas melanggar dua anggota PGA ketika cuba seludup PATI.

TUMPAT - Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera termasuk seorang menerima dua jahitan di kepala selepas dilanggar kenderaan dipandu seorang bekas banduan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Chat, Pulau Besar di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kedua-dua anggota berpangkat Lans Koperal berusia 34 dan 29 tahun terbabit dalam Op Taring Wawasan sebelum mengesan sebuah Proton Preve dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

Anggota berusia 34 tahun itu berkata, mereka menghalang kenderaan terbabit secara melintang sebelum dia turun dan membuka pintu kereta suspek sebelah pemandu untuk menjalankan pemeriksaan.

Jahitan kecederaan di kepala mangsa berusia 29 tahun.

Iklan

Menurutnya, ketika pintu dibuka, suspek secara tiba-tiba mengundurkan kenderaan dengan laju menyebabkan dia dan rakan setugasnya hampir digilis.

“Saya sempat berpaut pada stereng kenderaan suspek dan menarik keluar anak kunci.

Iklan

“Tindakan itu menyebabkan kenderaan berhenti dan suspek berjaya ditahan,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Kubor di sini pada Selasa.

Dia mengalami kecederaan luka pada betis dan kaki.

Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemukan enam wanita warga Myanmar berusia 20 hingga 25 tahun yang dipercayai migran diseludup masuk melalui laluan Thailand.

Sementara itu, anggota berusia 29 tahun berkata, dia terjatuh kerana tidak sempat menggelak kenderaan yang diundurkan secara tiba-tiba oleh suspek.

“Saya terjatuh dan mengalami kecederaan pada lutut.

“Keadaan ketika itu memang cemas kerana semuanya berlaku dengan pantas,” katanya.

Luka yang dialami di kepala selepas dilanggar. FOTO: ADILA SHARINNI WAHID

Akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan di kepala sehingga memerlukan dua jahitan selain kecederaan pada siku dan lutut.

Kejadian itu kali kedua berlaku ke atasnya selepas mengalami situasi sama dalam operasi di Jeli.

Suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun juga tekong bersama enam wanita terbabit kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

Semakan mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau, kebanyakannya berkaitan kes dadah selain dua rekod rogol serta keganasan rumah tangga.

Suspek juga baru lima hari dibebaskan daripada penjara sebelum kejadian.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah dan dipercayai berada di bawah pengaruh bahan terlarang ketika bertindak agresif terhadap kedua-dua anggota PGA.

Bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam, suspek disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Selainnya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Difahamkan migran terbabit masuk ke negara ini dari negara jiran melalui Sungai Golok dan menyusuri Sungai Kelantan sebelum ditahan di lokasi kejadian. - Bernama