SEREMBAN - Kerajaan negeri akan membincangkan isu peruntukan RM180,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang dibangkitkan beberapa ADUN kerajaan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) nanti.
Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim berkata, beliau difahamkan kelulusan peruntukan tersebut dibuat dalam MMK kerajaan terdahulu.
"Duit RM180,000 ini adalah hasil daripada keputusan Mesyuarat MMK. Saya ada minit di sini, iaitu pada 3 Jun, dua hari sebelum pembubaran DUN.
"Penyaluran peruntukan kesejahteraan rakyat kepada Pusat Khidmat DUN. MMK bersetuju untuk menyalurkan peruntukan kesejahteraan rakyat suku ketiga bagi bulan Julai hingga September," katanya ketika ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-16 pada Selasa.
Menurutnya, sememangnya MMK merupakan punca kuasa untuk meluluskan perkara tersebut, namun yang dipersoalkan adalah apabila peruntukan itu dinyatakan bagi bulan Julai hingga September, sedangkan DUN telah pun dibubarkan ketika itu.
Justeru, beliau berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu perkara berkenaan sebelum sebarang keputusan diambil.
"Apa pun, saya tak dapat nak komen sebab ini keputusan MMK sendiri sebagai punca kuasa. Tapi saya akan ambil perhatian dalam perkara ini dan saya rasa kena berbincang dalam MMK," katanya.
Dalam pada itu, beliau pada sidang media turut memaklumkan bahawa segala inisiatif yang baik untuk rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan.
Ini kerana katanya, sebahagian daripada inisiatif terbabit merupakan hasil pemikiran bersama ADUN Barisan Nasional dalam Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun ujar beliau, kerajaan negeri akan lebih berhati-hati dalam penyediaan belanjawan akan datang dengan mengikut unjuran hasil yang bakal kerajaan terima.