KEPALA BATAS - Polis Pulau Pinang melupuskan barangan kes membabitkan 2,436 kertas siasatan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM13.6 juta termasuk dadah, mesin Bitcoin, rokok, arak dan barangan berkaitan perjudian.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, pelupusan itu melibatkan barangan kes daripada tiga jabatan iaitu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
Menurutnya, bagi JSJ, sebanyak 271 kertas siasatan dari tahun 2019 hingga awal tahun ini terlibat dalam pelupusan tersebut.
“Barangan kes JSJ melibatkan 26 eksibit berkaitan kontraban, tujuh barang kes Bitcoin dan 229 barang kes melibatkan kes perjudian,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelupusan barang kes di Stor Barang Kes Pusat di sini pada Selasa.
Beliau berkata, nilai keseluruhan barangan kes JSJ yang dilupuskan dianggarkan RM800,000.
“Antara barangan yang dilupuskan ialah 177 mesin Bitcoin, 2,080 botol arak, 1,183 karton rokok, 30 mesin simulator, 108 pencetak mudah alih dan 122 telefon bimbit,” katanya.
Sementara itu, Dennis menambah, JSJN pula melupuskan barangan kes membabitkan 2,003 kertas siasatan yang dijalankan sejak 1997 hingga kini.
Jelasnya lagi, barangan berkenaan membabitkan dadah dan ketum dengan jumlah keseluruhan kira-kira 1,995 kilogram selain 666 liter cecair berkaitan dadah serta peralatan memproses dadah.
“Nilai keseluruhan pelupusan bagi barangan kes JSJN dianggarkan RM11.5 juta.
“Antara dadah yang dilupuskan ialah heroin, kanabis, ketamin, metamfetamin, pelbagai jenis pil dadah dan daun ketum,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, JSJK melibatkan 162 kertas siasatan dengan nilai pelupusan kira-kira RM1.3 juta.
“Antara barangan kes yang dilupuskan ialah VCD, poster, televisyen, sistem audio dan set meja yang digunakan dalam pelaksanaan kegiatan jenayah,” ujarnya.
Beliau berkata, kesemua barangan kes berkenaan telah mendapat perintah pelupusan sebelum proses itu dilaksanakan.
"Barangan yang mempunyai unsur elektronik (e-waste) atau bahan kimia akan diserahkan kepada syarikat berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar untuk dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan," katanya lagi.