Ekonomi menjunam kalau 'bertempur', maka saya pilih jaga politik dan ekonomi - Anwar

Iklan
Anwar (tengah) bersama wakil kerajaan dan agensi bukan kerajaan pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan pada Selasa. FOTO: Bernama

PUTRAJAYA – Usaha mengimbangi kepentingan politik dan ekonomi negara memerlukan kompromi bagi memastikan kedua-duanya terus berkembang sekali gus memelihara kesetabilan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelabur memerlukan keyakinan terhadap kestabilan sesebuah negara sebelum membuat keputusan untuk menanam modal selain mengambil kira kekuatan serta prospek ekonominya.

Iklan
Iklan

"Kompromi akan memberi keterbatasan tentang langkah-langkah yang diambil. Itu antara dua keputusan yang harus dibuat.

"Maka saya memilih untuk menjaga supaya politik itu stabil dan ekonomi berkembang," katanya ketika berucap pada majlis penutup Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di sini pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pertumbuhan ekonomi yang kukuh memberi ruang kepada kerajaan meningkatkan perbelanjaan dan peruntukan bagi menangani keperluan rakyat.

Menurutnya, kekuatan asas ekonomi ketika ini membolehkan kerajaan berada pada kedudukan lebih selesa untuk mempertimbangkan tambahan peruntukan, namun setiap permintaan perlu dinilai dalam kerangka makroekonomi serta mengambil kira kekangan kewangan negara.

Iklan

Sementara itu beliau menegaskan, sesi libat urus Belanjawan 2027 penting bagi membolehkan kerajaan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk sektor perniagaan, perdagangan, dewan perniagaan dan institusi perbankan.

"Semua pihak mempunyai peranan dalam meningkatkan keyakinan serta keupayaan ekonomi negara.

"Meskipun sektor seperti kecerdasan buatan (AI) dan digital menunjukkan perkembangan, masih terdapat sektor lain termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan cabaran serta memerlukan perhatian kerajaan," ujarnya.