JOHOR BAHRU - Pengumuman rasmi berhubung kadar tambang perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura akan dibuat secara bersama oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) kedua-dua negara dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, setakat ini perbincangan mengenai perkara itu berjalan lancar dan positif.
"Akan datang, pengumuman tambang antara kerajaan Malaysia dengan Singapura (akan diumumkan).
"Ini satu projek bilateral. Jadi apa-apa pengumuman rasmi berkenaan tarikh utama untuk pengoperasian dan juga tambang akan dibuat secara bersama oleh Menteri Pengangkutan Malaysia dan Singapura," katanya pada sidang media bersempena dengan Lawatan Tinjauan Kemajuan Projek dan Kesiapsiagaan Operasi RTS Link Johor Bahru-Singapura, di Stesen RTS Link Bukit Chagar di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada kadar tambang RTS Link telah dimuktamadkan.
Anthony berkata, RTS Operations Pte Ltd (RTSO) kini berada pada peringkat akhir perbincangan bersama kerajaan Malaysia dan Singapura bagi memuktamadkan kadar tambang serta mekanisme pembayaran RTS Link.
Beliau berkata, bagi menetapkan kadar tambang, RTSO mengambil pendekatan seimbang dengan mengambil kira kepentingan pengguna.
"RTSO turut mengambil kira kemampanan operasi jangka panjang serta nilai yang bakal dinikmati melalui perkhidmatan rel rentas sempadan yang selamat, pantas, boleh dipercayai dan selesa," katanya.
Anthony sebelum ini dilapor berkata, RTSO yang juga operator perkhidmatan RTS Link sedang membuat kajian mengenai kadar tambang berkenaan sebelum dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai lawatannya hari ini, Anthony berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan fizikal dan tahap keselesaan RTS Link.
Beliau berkata, penumpang bakal menikmati pelbagai kemudahan di RTS Link selain perlu melalui beberapa lapisan untuk menggunakan pengangkutan berkenaan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, pihaknya akan memastikan MRT menyediakan papan tanda yang mencukupi bagi kemudahan pengguna.
RTS Link dijadualkan mula beroperasi pada 1 Januari tahun hadapan dan dijangka membawa hingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.
Sistem itu akan menghubungkan Stesen RTS Link Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura. - Bernama