'Saya dengar ketukan banyak kali tengah malam, tapi tak ada orang'

Iklan
Sejak Ahad, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi kira-kira 2.25 minit yang dikongsikan penduduk, bunyi ketukan pada pintu kediaman kedengaran dengan jelas, namun tiada individu kelihatan di hadapan rumah.

ALOR SETAR - “Keluar periksa, tiada siapa.”

Itu antara pengalaman dikongsikan penduduk sekitar Jalan Langgar, di sini yang mendakwa terdengar bunyi ketukan kuat pada pintu rumah masing-masing pada tengah malam sejak dua hari lalu sehingga mencetuskan kebimbangan.

Iklan
Iklan

Sejak Ahad, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi kira-kira 2.25 minit yang dikongsikan penduduk, bunyi ketukan pada pintu kediaman kedengaran dengan jelas, namun tiada individu kelihatan di hadapan rumah.

Kejadian itu difahamkan berlaku di beberapa kawasan perumahan seperti Taman Vistana, Taman Amira, Taman Awana, Taman Lelasari sehingga ke Pekan Langgar.

Iklan

Seorang penduduk Taman Vistana, Shahira Azizan, 31, yang turut mengalami kejadian tersebut berkata, bunyi ketukan tersebut jelas dan menyangkakan dilakukan oleh suaminya pada kira-kira jam 10.45 malam pada Ahad.

Shahira semasa ditemui di rumahnya di Taman Vistana, Alor Setar pada Selasa.

Iklan

Ceritanya, ketukan tersebut dilakukan beberapa kali.

“Saya dengar ketuk banyak kali, kemudian anak saya lari masuk ke dalam bilik saya ingatkan suami ketuk tapi selepas diperiksa lihat tak ada orang,” katanya pada Selasa.

Menurutnya, suami telah memeriksa CCTV dengan ketua blok taman tersebut dan mendapati tiada kelibat manusia kelihatan.

Seorang lagi penduduk di Taman Awana, Mohd Hasbullah Ahmad, 40, berkata, dia berharap pihak berkuasa akan mengadakan rondaan di sekitar kawasan Jalan Langgar bagi mengurangkan kebimbangan yang dihadapi oleh penduduk di sekitar kawasan itu.

Katanya, dia keluar pada jam 12.30 malam untuk melihat di luar rumah selepas mendengar bunyi ketukan yang kuat.

“Saya terus keluar bila dengar ketukan itu sebab dengar kedengaran dengan jelas. Bimbang ada apa-apa kecemasan, bila keluar tidak ada sesiapapun,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan di media sosial juga mendapati kejadian tersebut turut menjadi bualan hangat.

Seorang pengguna media sosial, nurrfariha mendakwa pintu rumahnya diketuk beberapa kali sebelum pemeriksaan dilakukan, namun tiada sesiapa ditemui.

“Ada tak orang Alor Setar di sini, rumah kita kena ketuk banyak kali malam-malam buta, jiran pun dengar.

Tangkap layar video CCTV yang kedengaran ketukan beberapa kali dengan jelas di sebuah taman perumahan di Jalan Langgar, Alor Setar.

“Dia periksa CCTV, tunjuk kepada abang polis pun tidak nampak apa-apa. Nampak gaya saya pun nak kena pasang CCTV,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Rata-rata netizen mengakui masih belum menjumpai punca sebenar bunyi ketukan yang didakwa berlaku di beberapa kawasan tempat tinggal mereka.

Penduduk berharap pihak berkuasa dapat menjalankan pemeriksaan bagi memastikan kejadian itu tidak berkaitan dengan sebarang kegiatan jenayah atau perkara yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan pihaknya berhubung kejadian berkenaan dalam masa terdekat ini.