PUTRAJAYA - Kerajaan terbuka untuk mengkaji keperluan menggabungkan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu mengambil kira kelebihan kedua-dua sistem berkenaan dan melakukan penyesuaian dengan keadaan semasa.
"Mengenai SST dan GST, seperti yang saya sebut tadi, kita terbuka untuk mengkaji, perbaiki sistem percukaian. Tetapi kalau bercakap soal GST sahaja, saya punya kebimbangan seperti yang saya lahirkan berulang kali, ini cukai (kepada) rakyat.
"Maknanya orang yang tak pernah bayar cukai, mesti bayar. Mana kita nak jawab dalam keadaan sekarang? Dengan kos sara hidup, beban rakyat. Sebab itu kita guna pangkal SST, tetapi kalau ada beberapa penyesuaian, boleh kita lakukan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Libat Urus Belanjawan 2027, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, asas sistem percukaian negara masih berteraskan SST, namun tidak menolak untuk menerima beberapa ciri GST sekiranya elemen tersebut sesuai dan mampu memperbaiki sistem percukaian negara.
"Tetapi saya tidak mahu bertolak ansur satu hal. Saya tidak mahu cukai ke atas rakyat secara menyeluruh, seperti mana pangkal pandangan dalam GST.
"GST itu broad-based tax, kita cukai semua rakyat. Saya tidak setuju," tegasnya.
Sementara itu ditanya mengenai perancangan khusus untuk golongan berpendapatan pertengahan (M40) dalam Belanjawan 2027, Anwar berkata, kerajaan telah menyenaraikan beberapa keutamaan bagi meringankan beban golongan berkenaan.
"Kita ada senarai hal-hal yang telah kita beri keutamaan untuk meringankan beban M40," ujarnya.