Kolam tadahan bertukar biru, berbau busuk cetus tanda tanya

Iklan
Keadaan buih hijau kebiruan pada kolam takungan sewaktu tinjauan pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Noor Helmy (kiri), Nor Hisham

MELAKA – Kemunculan buih berwarna biru disertai bau busuk di Kolam Tadahan Air Semabok Perdana Duyong di sini menimbulkan tanda tanya orang awam yang mengaitkannya dengan kemungkinan berlaku pencemaran di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem meninjau lokasi terbabit selepas menerima aduan berhubung isu tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pasukan teknikal daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tiba di lokasi sekitar jam 10 pagi untuk menjalankan pemeriksaan serta mengambil sampel air bagi tujuan analisa.

Menurutnya, keputusan analisa itu dijangka diketahui dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas sampel dihantar ke makmal.

Iklan

“Untuk keputusan sebenar apa yang ada dalam air ini, kita perlu tunggu dua hingga tiga hari kerana sampel perlu dihantar ke makmal.

“Pada masa sama, pihak berkuasa berkaitan akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sama ada berlaku pembuangan sisa dari mana-mana kawasan atau ia merupakan kesan semula jadi,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian awal pasukan teknikal, keadaan air berkenaan dipercayai mempunyai kemungkinan berlaku akibat pembuangan bahan ke dalam kolam.

“Berdasarkan pemerhatian awal, terdapat dua warna iaitu biru dan hijau. Warna hijau dipercayai adalah alga yang memang boleh berlaku dalam keadaan kolam tadahan yang airnya tidak mengalir dan menyebabkan keadaan sedemikian,” katanya.

Bagaimanapun katanya, warna biru itu kelihatan seperti berlapis dan seakan-akan kesan cat tetapi bau yang terhasil pula tidak menunjukkan ia seperti cat.

“Sebab itu sampel perlu dihantar ke makmal untuk ujian. Pemeriksaan akan dibuat terhadap semua sumber dan aliran masuk sehingga puncanya dikenal pasti,” katanya.

Seorang penduduk menunjukkan keadaan buih kebiruan yang terdapat pada kolam berkenaan.Foto: Sinar.

Sementara itu, seorang peniaga berhampiran, Nor Hisham Othman, 43 berkata, beliau menyedari perubahan warna air di kolam berkenaan sejak dua hingga tiga hari lalu.

Menurutnya, pada mulanya menyangka warna hijau kebiruan itu menandakan air semakin jernih.

“Saya memang selalu memancing di sini. Bila nampak air berwarna biru kehijauan, saya ingatkan air semakin jernih, tidak sangka jadi begini apabila mula berbau busuk.

“Sebelum ini pernah juga berlaku perubahan warna air yang dilihat biasanya menjadi hitam, namun kali ini keadaan itu berbeza apabila air bertukar biru kehijauan,” katanya.

Katanya tidak melihat sebarang aktiviti pembuangan bahan ke dalam kolam berkenaan sebelum berlaku perubahan warna air tersebut.