PUTRAJAYA - Sebanyak 2,145 individu secara sukarela mendapatkan rawatan sejak Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dikuatkuasakan pada Ogos tahun lepas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, 1,401 individu menjalani rawatan komuniti manakala 744 lagi menerima rawatan institusi sekali gus menunjukkan perkembangan positif penguatkuasaan akta itu.
"Ini petunjuk tentang keberhasilan apabila kita pinda akta ini, kita menarik mereka yang terlibat untuk datang dan serah diri untuk dirawat.
"Angka ini dalam tempoh setahun, tentu menunjukkan hasil yang membanggakan dan saya percaya masih ada ruang untuk meningkatkan angka ini,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Selasa.
Akta 283 berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025 membolehkan penangkapan, akses rawatan dan pemulihan diambil terhadap penyalahgunaan bahan larangan selain dadah termasuk gam dan ketum.
Akta itu memperluas akses rawatan dan pemulihan selaras dengan pendekatan kesihatan awam dan pemulihan menyeluruh.
Saifuddin Nasution berkata, selain individu yang tampil secara sukarela, sebanyak 23,317 Orang Yang Disyaki (OYDS) turut direkodkan selain 1,109 penyalah guna ketum dikesan sejak akta itu berkuat kuasa.
Beliau berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan terus memberikan tumpuan kepada aspek pencegahan dan penguatkuasaan selain memperkukuh elemen rawatan serta pemulihan dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah.
Selain itu, Saifuddin Nasution berkata, kerjasama strategik dengan agensi kawal selia lain juga perlu terus diperkasakan bagi memastikan pendekatan bersepadu dapat dilaksanakan secara berkesan.
"Saya anjurkan AADK untuk terus fokus, terutamanya kepada aspek pencegahan dan aspek penguatkuasaan. Tumpu sepenuhnya elemen rawatan dan pemulihan serta jangan abaikan soal kerjasama strategik dengan agensi kawal selia lain,” katanya.
Pada majlis itu, Saifuddin Nasution turut melancarkan Pelan Strategik AADK 2026-2030 serta Unit Dron AADK yang akan memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pencegahan dadah di negara ini. - Bernama