PETI sejuk LG InstaView mencatat pencapaian baharu apabila jualan terkumpul globalnya melepasi 5.3 juta unit sejak diperkenalkan pada 2016.
Pencapaian itu bersamaan kira-kira satu unit terjual setiap minit, sekali gus mengukuhkan kedudukan inovasi LG Electronics (LG) berkenaan sebagai antara produk peti sejuk premium yang mendapat sambutan pengguna di seluruh dunia.
LG dalam kenyataan memaklumkan ciri ikonik InstaView, 'ketuk dua kali, lihat bahagian dalam', terus menjadi tarikan utama dengan membolehkan pengguna melihat kandungan peti sejuk tanpa perlu membuka pintunya.
Menurutnya, Amerika Utara kekal sebagai pasaran terbesar InstaView, menyumbang kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan jualan terkumpul global setakat ini.
"Permintaan terhadap produk itu turut menunjukkan pertumbuhan di Eropah, Asia dan Amerika Latin, didorong antaranya oleh minat pengguna terhadap peralatan rumah premium, kecekapan tenaga, kelestarian serta keupayaan mengekalkan kesegaran makanan.
"Dalam tempoh sedekad, InstaView turut menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa dalam bidang reka bentuk dan inovasi, termasuk Red Dot Design Award, iF Design Award, IDEA dan CES Innovation Award," katanya.
LG berkata, perubahan turut dapat dilihat pada cara pengguna menilai produk berkenaan yang mana pelanggan lebih tertumpu kepada aspek fungsi, khususnya kemudahan melihat isi peti sejuk dengan mengetuk dua kali serta potensi mengurangkan kehilangan udara sejuk.
Sementara itu, Presiden LG Home Appliance Solution Company, Baek Seung-tae berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan syarikat memahami keperluan dan gaya hidup pengguna yang sentiasa berubah.
“Selama sedekad, peti sejuk LG InstaView telah menjadi bukti kepimpinan kami dalam pasaran peralatan rumah serta pemahaman mendalam kami terhadap gaya hidup pelanggan,” katanya.
Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan kejayaan LG menghasilkan bukan sekadar ciri inovatif, tetapi pengalaman dapur yang lebih mudah dan menyeronokkan.
“Dengan memanfaatkan teknologi AI, penyejukan dan pemeliharaan makanan kami yang canggih, kami akan terus menerajui evolusi pengalaman dapur melalui inovasi yang mengutamakan pelanggan,” katanya.
Selepas 10 tahun berada di pasaran, InstaView bukan lagi sekadar ciri untuk melihat kandungan peti sejuk tanpa membuka pintu, sebaliknya berkembang menjadi sebahagian daripada pengalaman dan gaya hidup dapur moden.