RAKYAT Malaysia yang memandu atau menunggang kenderaan di Thailand perlu lebih berhati-hati susulan penguatkuasaan undang-undang trafik secara lebih tegas di negara itu bermula 1 April 2026.
Penguatkuasaan itu menyaksikan polis Thailand memberi tumpuan kepada 10 kesalahan trafik utama yang dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Antara 10 kesalahan utama yang perlu diberi perhatian ialah:
1. Memandu melebihi had laju
Pesalah boleh dikenakan denda maksimum 4,000 baht (kira-kira RM492) berbanding 1,000 baht (kira RM123) sebelum ini.
2. Melanggar lampu isyarat
Kesalahan melanggar isyarat lampu trafik boleh dikenakan denda maksimum 4,000 baht (kira-kira RM492) berbanding 1,000 baht (kira-kira RM123) sebelum ini.
3. Gagal berhenti di lintasan pejalan kaki
Pemandu yang gagal berhenti untuk memberi laluan kepada pejalan kaki di lintasan boleh dikenakan denda maksimum 4,000 baht (kira-kira RM492).
4. Menggunakan telefon ketika memandu
Penggunaan telefon bimbit ketika memandu tanpa peralatan sokongan yang dibenarkan boleh dikenakan denda maksimum 4,000 baht (kira-kira RM492).
5. Memandu melawan arus
Pesalah boleh dikenakan denda maksimum 2,000 baht (kira-kira RM246) berbanding 500 baht (kira-kira RM61) sebelum ini.
6. Tidak memakai topi keledar
Pemandu dan pembonceng motosikal yang tidak memakai topi keledar boleh dikenakan denda maksimum 2,000 baht (kira-kira RM246).
7. Tidak memakai tali pinggang keledar
Pemandu dan penumpang yang gagal memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan denda maksimum 2,000 baht (kira-kira RM246).
8. Tidak membawa lesen memandu
Kesalahan tidak membawa lesen memandu boleh dikenakan denda sehingga 1,000 baht (kira-kira RM123) dan boleh turut dikenakan hukuman penjara sehingga sebulan.
9. Memandu di bawah pengaruh alkohol
Pesalah boleh dikenakan denda antara 5,000 hingga 20,000 baht (kira-kira RM615 hingga RM2,460) atau hukuman penjara sehingga setahun, bergantung kepada keadaan kes.
10. Memandu tanpa mengambil kira keselamatan
Kesalahan itu boleh dikenakan denda antara 5,000 hingga 20,000 baht (kira-kira RM615 hingga RM2,460) dan hukuman penjara sehingga setahun.
Sumber: Polis Diraja Thailand, Jabatan Pengangkutan Darat Thailand (DLT) dan Thai PBS.