SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mahu kerajaan segera merealisasikan agenda reformasi yang diperlukan selari dengan desakan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo yang mahu ia dilaksanakan sebelum akhir tahun ini.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, gesaan tersebut menunjukkan keseriusan pimpinan itu untuk memastikan setiap perubahan dapat dilaksanakan ketika kerajaan Madani masih memperoleh mandat.
Menurutnya, antara reformasi adalah Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang perlu dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, dibahas dan diluluskan.
"Ini kerana dapatan peruntukan dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) telah ditambah baik khususnya Klausa 18 tentang peranan Parlimen dalam pemilihan Pendakwa Raya.
"RUU tersebut juga telah dibincangkan dan dimasakkan oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada pelbagai parti di dalam JKPK yang ditubuhkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Muhammad Faisal berkata, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun juga perlu dibentangkan semula.
Tambahnya, Akta Perhimpunan Aman 2012 perlu dipinda memandangkan terdapat beberapa klausa yang tidak relevan malah bercanggah dengan Perlembagaan.
"Ini yang turut ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan tahun lalu khususnya menyentuh Seksyen 9(5) yang tidak berperlembagaan.
"Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mulakan libat urus termasuk melalui Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk tuntaskan deraf pindaan akta ini dan dibentangkan dalam sesi akan datang," ujarnya lagi.
Selain itu, beliau berkata, pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu khususnya menyentuh isu tahanan terlalu lama sementara menanti perbicaraan (Seksyen 13).
"Satu usaha untuk mempercepat perbicaraan amat perlu jika tidak ia akan menzalimi tahanan yang merengkok bertahun-tahun dalam tahanan walau belum dibuktikan bersalah.
"Seperti Akta Perhimpunan Aman, proses libat urus harus disegerakan dan dibentangkan hasil di Parlimen untuk dibahas," ujarnya.
Muhammad Faisal menegaskan bahawa pendirian bersama 44 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk kerajaan sedia ada kekal sehingga hujung penggal bagi pelaksanaan reformasi itu.