SEREMBAN - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Seri Dr Awaludin Said dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri(DUN) Negeri Sembilan penggal ke-16 pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Selasa.
Beliau yang berusia 66 tahun merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau secara rasmi mengangkat sumpah jawatan di depan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Usul pemilihan Awaludin dicadang oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli.
Upacara mengangkat sumpah jawatan terbabit bagi menggantikan Speaker DUN sebelum ini, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Awaludin dilantik sebagai Speaker yang mana kali pertama pada tahun 2013 hingga 2018 ketika Negeri Sembilan berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional(BN).
Beliau juga pernah menjadi ADUN Kota selama empat penggal bermula 2004 hingga 2023.
Dalam pada itu, ADUN Paroi yang juga Timbalan Pesuruhajaya Pas Negeri Sembilan, Kamarul Ridzuan Mohd Zain, 59, pula dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN negeri pada penggal kali ini.
Pada masa sama, seramai 35 daripada 36 ADUN telah mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah masing-masing di hadapan Awaludin.
ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun tidak hadir atas urusan rasmi yang tidak dapat dielakkan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Ogos lalu, gabungan kerjasama BN dan Perikatan Nasional(PN) memenangi sebanyak 25 kerusi DUN di negeri ini daripada keseluruhan 36 buah kerusi yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 11 kerusi.