SABAK BERNAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menempatkan kaunter Jom Timbang & Semak di Pasar Awam Sabak Bernam bagi membolehkan pengguna membuat pengesahan berat barangan secara kendiri sebelum meninggalkan pasar.
Kaunter berkenaan dilengkapi alat timbang elektronik kalis air bagi memastikan pengguna dapat menyemak ketepatan berat barangan yang dibeli selain menggalakkan urus niaga yang lebih telus antara peniaga dan pembeli.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan, Pengguna dan Koperasi Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, kemudahan itu antara inisiatif yang diperkenalkan menerusi pelaksanaan Program Pasar PATUH 2026 Peringkat Daerah Sabak Bernam.
Menurutnya, program berkenaan memberi penekanan terhadap kawalan kendiri dalam kalangan peniaga selain memastikan mereka mematuhi undang-undang, standard dan garis panduan ditetapkan.
"Program Pasar PATUH bukan untuk membebankan peniaga, sebaliknya menjadi platform bimbingan, advokasi dan pengiktirafan kepada peniaga yang jujur.
"Antara perkara yang diberi perhatian termasuk pematuhan harga, penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan serta aspek kebersihan dan keselesaan premis," katanya ketika merasmikan Program Pasar PATUH 2026 Peringkat Daerah Sabak Bernam di Pasar Awam Sabak Bernam pada Isnin.
Beliau berkata, pelaksanaan program di peringkat akar umbi penting bagi memastikan agenda pematuhan perdagangan turut dilaksanakan di kawasan luar bandar.
Katanya, kerjasama antara KPDN Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), persatuan peniaga tempatan dan institusi pendidikan turut membantu memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
"Kerjasama rentas agensi antara kerajaan, industri dan pengguna penting bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi impak kepada masyarakat.
"Sinergi antara agensi Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan ini menjadi asas kepada usaha memperkukuh integriti serta tadbir urus perdagangan dalam negeri," katanya.
Program Pasar PATUH dilaksanakan di bawah Pendekatan Penguatkuasaan Bestari (Smart Enforcement) KPDN dan merupakan sebahagian daripada payung Program PATUH yang turut merangkumi Zon Persinggahan Patuh (ZPP) serta Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP).
Pelaksanaan program itu turut memberi tumpuan kepada pematuhan harga, ketepatan timbangan serta kebersihan dan keselesaan pasar.
Program Pasar PATUH 2026 Peringkat Daerah Sabak Bernam dilancarkan buat julung kalinya bagi tahun ini dengan kerjasama MDSB dan persatuan peniaga tempatan.
Turut terlibat ialah Politeknik Sultan Idris Shah, Kolej Komuniti Sabak Bernam dan Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra sebagai rakan agensi pendidikan.