PUTRAJAYA - Usaha meningkatkan pendapatan rakyat, memperluas peluang pekerjaan berkualiti serta menangani tekanan kos sara hidup akan menjadi antara keutamaan kerajaan dalam merangka Belanjawan 2027.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan yang digariskan akan dilaksanakan secara bersasar dan mampan bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi negara dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh seluruh lapisan masyarakat.
"Ia akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara, melindungi kesejahteraan dan melaksanakan langkah-langkah meningkatkan kemampanan fiskal," katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027, di sini pada Selasa.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, pembentangan Belanjawan 2027 bertemakan 'Malaysia Madani: Menggapai Di Langit, Mengakar di Bumi' dijadualkan pada 9 Oktober depan dan dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Amir Hamzah menjelaskan, agenda berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan 'menaikkan lantai' yang akan diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.
Menurutnya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan mutu perkhidmatan awam, termasuk memperkukuh sistem pendidikan, meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan memperkasa pembangunan modal insan sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif.
"Kerajaan menghargai peranan badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil dan rakan strategik dalam memastikan bantuan serta intervensi sosial dapat disampaikan dengan lebih menyeluruh, khususnya kepada golongan rentan.
"Kerjasama ini penting bagi memperkukuh jaringan perlindungan sosial agar tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara," ujarnya.
Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2027 dirangka dengan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global serta harapan rakyat yang semakin tinggi terhadap penyampaian Kerajaan.
Jelasnya, Belanjawan Madani kelima itu akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara, melindungi kesejahteraan rakyat dan meningkatkan kemampanan fiskal.
"Dalam persekitaran global yang semakin mencabar, kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil dan semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan Belanjawan 2027 mampu memperkukuh daya tahan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan yang mampan," katanya.