KOTA BHARU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah akan mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada berhubung kes seorang guru didakwa memukul murid dan ibunya menggunakan tongkat.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya bagaimanapun belum mahu mengulas lanjut termasuk berkaitan sama ada siasatan dalaman dibuka berhubung kejadian berkenaan.
“Saya tak nak komen dulu sebab saya pun baru dapat maklumat tersebut.
“Saya pasti JPN, PPD dan sekolah-sekolah akan mengambil tindakan mengikut peraturan yang ada,” katanya selepas penyerahan bas sekolah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini pada Selasa.
Mohd Azam berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan pihak pendidikan terhadap kes berkenaan.
Pada 13 Ogos lalu, akhbar melaporkan seorang guru lelaki berusia 54 tahun di Pasir Mas ditahan pada Rabu lalu bagi membantu siasatan selepas didakwa memukul seorang murid dan ibunya menggunakan tongkat dalam dua kejadian berasingan.
Kejadian terhadap murid itu dikatakan berlaku terlebih dahulu sebelum ibunya hadir ke sekolah untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara berkenaan.
Bagaimanapun, pertemuan tersebut didakwa bertukar tegang apabila guru terbabit memukul wanita berkenaan menggunakan tongkat.
Polis sebelum ini memaklumkan suspek ditahan dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.