PERBEZAAN fizikal bukan penghalang buat pelajar Maahad Pengajian Islam, Muhammad Esyhan Izz Rifqi Badaliza, 16, apabila berjaya menyapu bersih empat pingat emas pada Kejohanan Jemputan Taekwondo Antarabangsa International Taekwondo Federation (ITF) 2026 di Loudi, China, pada 11 dan 12 Ogos lalu.
Lebih membanggakan, kejayaan atlet muda itu bukan sahaja mengharumkan nama Kelantan, malah mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa selepas bersaing dalam kelompok atlet dari pelbagai negara yang mempunyai reputasi kuat dalam sukan sukan taekwondo.
Muhammad Esyhan berkata, kejayaan meraih empat emas itu disifatkan sebagai sesuatu yang mengejutkan kerana saingan di setiap kategori cukup sengit, termasuk berdepan atlet dari negara yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal.
"Memang terkejut sebab dalam kategori itu ramai yang bertanding. Kami lawan atlet dari negara lain seperti Australia, Nigeria dan Rusia.
"Mereka tinggi-tinggi dan kaki panjang, jadi memang ada perbezaan fizikal dengan saya," katanya ketika ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan.
Kepulangan Muhammad Esyhan disambut meriah oleh warga Maahad Pengajian Islam, wakil daripada Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta kedua ibu bapanya, Badaliza Ismail, 44, dan Juliaizura Zulbakia, 43.
Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, antara cabaran lain yang dihadapi ketika menyertai kejohanan berkenaan ialah perjalanan ke China apabila peserta Malaysia terpaksa menaiki penerbangan secara berasingan, selain perlu menyesuaikan diri dengan suasana serta persekitaran baharu.
Bagaimanapun, kejayaan meraih emas dalam acara individual pattern menjadi pencetus semangat untuk meneruskan saingan sebelum dia menambah tiga lagi emas menerusi acara berikutnya termasuk sparring.
"Bila dapat emas pertama, semangat terus naik dan selepas itu saya cuba untuk dapatkan emas dalam acara sparring pula. Alhamdulillah, akhirnya dapat empat emas," katanya.
Muhammad Esyhan yang kini memegang tali pinggang hitam 1st Dan berkata, dia mula menceburi sukan taekwondo ketika darjah tiga dan sudah hampir tujuh tahun aktif dalam sukan itu.
Katanya, dia mula menyertai pertandingan peringkat kebangsaan ketika darjah enam sebelum diberi peluang beraksi di pentas antarabangsa.
"Minat sejak darjah tiga, ayah dan ibu banyak beri sokongan. Saya akan terus fokus kepada semua kejohanan, bukan hanya pertandingan antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Presiden Kelab Highkicks Taekwondo Kelantan, Siti Rossilawati Othman berkata, kejayaan Muhammad Esyhan di China amat membanggakan selepas pencapaian sebelum ini di Korea hanya membawa pulang pingat gangsa.
Menurutnya, kira-kira 29 peserta mewakili Malaysia pada kejohanan berkenaan, membabitkan atlet dari Kelantan, Perak dan Sarawak, dengan delegasi Kelantan terdiri daripada 13 atlet.
"Kami sendiri tidak meletakkan sasaran khusus untuk emas, jadi pencapaian ini amat menggembirakan dan mengejutkan," katanya.
Siti Rossilawati berkata, kejayaan tersebut turut menyemarakkan impian pihaknya untuk melihat Muhammad Esyhan melangkah lebih jauh termasuk menyertai World Taekwondo Cup 2028, yang dijangka menjadi penampilan pertamanya di pentas berkenaan.
Katanya, buat masa ini Muhammad Esyhan akan memberi tumpuan kepada kejohanan seterusnya termasuk Putrajaya Taekwondo Challenge peringkat kebangsaan pada Oktober ini dalam kategori bawah 55 kilogram.
Beliau berkata, Kelab Highkicks Taekwondo Kelantan sebelum ini turut mempunyai rekod menghantar atlet menyertai pertandingan di luar negara, namun pencapaian Muhammad Esyhan di China menjadi antara kejayaan paling membanggakan bagi tahun ini.
"Dia tidak akan berhenti setakat ini, insya-ALLAH. Selepas ini sasaran kita ialah terus meningkatkan prestasi dan mengejar peluang ke pentas lebih tinggi," katanya.