PUTRAJAYA – Keputusan rayuan akhir pendakwah selebriti Da’i Syed untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun termasuk tiga sebatan kerana merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu akan diputuskan Mahkamah Rayuan di sini pada 4 November depan.
Peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, mengesahkan perkara berkenaan selepas pengurusan kes pada Isnin.
“Keputusan ditetapkan pada 4 November,” katanya ringkas ketika dihubungi media.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid akan memutuskan perkara berkenaan pada jam 9 pagi.
Pada 3 Ogos lalu, mahkamah diberitahu sabitan bagi kesalahan rogol terhadap anak guamnya tidak sepatutnya dikekalkan kerana terdapat beberapa kelemahan dalam kes pihak pendakwaan khususnya berhubung isu persetujuan.
Peguam, Datuk MM Athimulan yang mewakili Syed Shah Iqmal berhujah bahawa, keterangan saksi pendakwaan sendiri mendedahkan terdapat pelbagai keadaan yang menunjukkan hubungan seksual antara perayu dan mangsa berlaku atas dasar suka sama suka.
Beliau berkata, bapa kepada dua anak itu tidak pernah memaksa mangsa ke rumahnya malah wanita itu boleh menolak mengikut pendakwah selebriti tersebut, namun memilih untuk tidak berbuat demikian.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim berhujah bahawa keterangan saksi telah menyokong naratif bahawa dia telah dirogol.
Selain itu katanya, ada bukti keadaan yang menunjukkan bahawa wanita tersebut mengalami kemurungan serta perubahan tingkah laku susulan insiden berkenaan.
Beliau berkata, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital dan laporan perubatan menyebut bahawa antara faktor penyumbang kepada kemurungannya ialah dakwaan serangan seksual itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 21 hari di Penjara Kajang, Da’i Syed dibebaskan sementara
Da’i Syed kekal bersalah kes rogol, ke penjara hari ini
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas satu pertuduhan merogol wanita berusia ketika itu berusia 23 tahun, di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 daerah sama, jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.
Penceramah itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi sama memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Pada 30 Ogos 2024, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen menjatuhinya hukuman penjara dan sebatan atas tuduhan berkenaan dan diperintahkan ke penjara pada hari sama.
Selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi hingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar.
Pada 23 Januari lepas, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen sekali gus mendorong pendakwah selebriti itu membawa kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan manakala pendakwaan mengemukakan rayuan balas terhadap hukuman.