PASIR PUTEH - Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak akan mempertimbangkan pelarasan harga atau Variation of Price (VOP) yang tinggi kepada kontraktor selagi tiada bukti kukuh menunjukkan kos bahan binaan benar-benar melonjak.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, permintaan VOP menjadi antara isu utama yang dibangkitkan persatuan kontraktor dalam dialog Belanjawan KKR baru-baru ini susulan dakwaan berlaku peningkatan ketara kos bahan binaan.
Beliau bagiamanapun memberitahu, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bertarikh 10 Ogos menunjukkan kebanyakan bahan binaan hanya mencatat kenaikan kecil dan harga secara keseluruhannya masih stabil.
"Contohnya simen, kenaikannya tidak sampai satu peratus. Jadi, majoriti bahan binaan sebenarnya menunjukkan kenaikan yang sedikit dan harganya stabil," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu, beliau hadir pada Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ahmad memberitahu, KKR mengambil pendirian bahawa sebarang pertimbangan berkaitan VOP perlu dibuat secara adil dan berasaskan data rasmi, bukannya semata-mata dakwaan peningkatan kos.
Kata beliau, persatuan kontraktor termasuk Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia dan kontraktor Kelas F diminta mengemukakan maklum balas sekiranya mendapati statistik DOSM tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan.
"Kalau mereka kata harga naik tinggi, beri bukti kepada DOSM. Kita minta mereka cabar data itu dengan bukti yang sah.
"Contohnya invois pembelian atau dokumen yang menunjukkan perbandingan kos bahan binaan sebelum dan selepas peningkatan harga tersebut. Biar DOSM semak," katanya.
Jelas beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tuntutan VOP tidak dibuat secara sewenang-wenangnya sehingga memberi implikasi kepada peruntukan kerajaan.
Sementara itu, katanya data DOSM sebelum ini menunjukkan pergerakan harga bahan binaan terpilih berubah mengikut bulan, dengan indeks dan harga purata bahan seperti besi keluli serta simen dipantau secara berkala.
"Selagi tidak ada data atau bukti yang sah menunjukkan kenaikan itu melambung tinggi, kita tidak boleh memberi pertimbangan atau meluluskan VOP yang tinggi.
"Keputusan mesti dibuat secara adil berdasarkan data rasmi DOSM," katanya.