SHAH ALAM - Kerajaan Selangor dijangka membuat keputusan berhubung pendedahan laporan penuh insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights selepas sambutan Hari Kebangsaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri ketika ini masih menunggu sehingga suku terakhir tahun ini sebelum mengambil tindakan lanjut berhubung perkara berkenaan.
"Kalau tidak ada (keputusan), saya akan berbincang dengan penasihat undang-undang (LA) untuk melihat sama ada kita boleh buka kepada orang awam, selagi ia dalam bidang kuasa kita," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SmartSel Sdn. Bhd. dan PG LinkaranFibre Sdn. Bhd. serta penyempurnaan projek fiberisasi-cyberjaya di sini pada Isnin.
Insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights berlaku pada 1 April tahun lalu menyebabkan kemusnahan dan kerosakan kepada sejumlah kediaman serta kenderaan di kawasan terbabit.
Sebelum ini, isu pendedahan laporan penuh insiden itu menjadi perhatian penduduk dan pihak berkepentingan yang mahu mengetahui punca serta dapatan siasatan berkaitan kejadian berkenaan.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga sudah mengemukakan nota berkaitan perkara itu kepada kerajaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan, pendedahan laporan itu perlu mengambil kira bidang kuasa kerajaan negeri serta penglibatan agensi kerajaan Persekutuan dalam insiden berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin memberitahu, sebanyak 90 peratus pusat data di Cyberjaya bakal mendapat manfaat daripada rangkaian fiber berkelajuan tinggi yang kini sudah siap dibangunkan sepanjang 40 kilometer.
Beliau berkata, rangkaian itu akan mengukuhkan kedudukan Cyberjaya sebagai hab data dan teknologi dengan menyediakan keterhubungan lebih baik kepada pusat data di kawasan berkenaan.
Katanya, rangkaian fiber itu juga berpotensi menghubungkan pusat data di Cyberjaya dengan rangkaian lebih luas menerusi PJ Lingkaran seterusnya membuka akses kepada rangkaian antarabangsa.
"Ia akan memberi peluang perkhidmatan atau membuka peluang kepada data centre untuk berhubung dengan rangkaian kita," jelasnya.
Amirudin berkata, keterhubungan itu menjadi lebih strategik apabila rangkaian berkenaan disambungkan dengan PG Lingkaran yang menghubungkan jajaran dari sempadan utara hingga selatan.
Katanya, sambungan itu seterusnya berpotensi menghubungkan Selangor dengan rangkaian antarabangsa melalui Singapura serta rangkaian kabel dasar laut.
"Jaraknya hanya tinggal 20 hingga 30 meter dengan PJ Lingkaran, jadi ia menyediakan keterhubungan yang sempurna kepada perkhidmatan data centre kita pada masa depan, terutamanya di Cyberjaya," tambah beliau.