RCI Tabung Haji: GLC, GLIC bukan token politik untuk diagih kepada sekutu - CSO

Iklan
Pendedahan laporan RCI Tabung Haji wajar dijadikan pengajaran dan diperluas. Foto hiasan

SHAH ALAM - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak seharusnya dilihat sebagai token untuk diagihkan kepada sekutu politik, sebaliknya perlu ditadbir sebagai institusi yang memegang amanah awam.

CSO Platform for Reform (CSO) dalam kenyataan memaklumkan, pendedahan daripada laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji wajar dijadikan pengajaran dan diperluas khususnya dari aspek pelantikan kepimpinan, pengawasan, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Iklan
Iklan

"Orang awam perlu diberikan maklumat mencukupi untuk menilai sama ada pihak yang bertanggungjawab telah dikenakan pertanggungjawaban sewajarnya," katanya dalam kenyataan.

Pihaknya turut menggesa perlindungan lebih kukuh diwujudkan bagi memastikan GLC dan GLIC tertakluk kepada audit yang ketat, bebas dan dilaksanakan pada masanya.

Iklan

"Pelantikan ke lembaga pengarah dan kepimpinan kanan syarikat GLC dan GLIC dibuat melalui proses yang telus, berasaskan merit dan bebas, tanpa pengaruh politik, naungan politik atau pertimbangan kepartian.

"Perlindungan yang lebih kukuh mesti diwujudkan bagi memastikan GLC dan GLIC tertakluk kepada audit yang ketat, bebas dan dilaksanakan pada masanya, dengan dapatan audit serta tindakan susulan yang sewajarnya dipertanggungjawabkan secara terbuka kepada masyarakat," katanya.

Iklan

Menurut CSO, isu melibatkan TH tidak wajar dijadikan senjata politik terhadap pentadbiran terdahulu atau dieksploitasi semata-mata bagi kepentingan pilihan raya.

"Kebertanggungjawaban juga tidak boleh dilaksanakan secara terpilih atau mengikut keselesaan politik.

"Matlamatnya mestilah untuk menentukan apa yang berlaku, mengapa ia berlaku, siapa yang bertanggungjawab dan apakah kelemahan institusi yang membolehkan kegagalan sedemikian berlaku," katanya.

Gabungan itu turut menggesa tindakan tegas dan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab atas salah urus, kecuaian atau salah laku, selepas siasatan menyeluruh dan bebas serta mengikut proses sewajarnya.

"Sekiranya siasatan menentukan wujudnya pihak yang bertanggungjawab, nama individu terlibat, peranan mereka dan dapatan terhadap mereka perlu didedahkan kepada umum.

"Mekanisme pengawasan bebas, perlindungan institusi dan langkah tadbir urus yang lebih kukuh perlu dilaksanakan bagi melindungi kepentingan pendeposit serta penerima manfaat Tabung Haji dan memastikan kegagalan sama tidak berulang," katanya.