SHAH ALAM - Selangor menunggu pendaftaran program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) etnik Rohingya dan individu tanpa kerakyatan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum menyusun tindakan lanjut berkaitan penempatan serta pengurusan pelarian itu di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri hanya akan mengambil langkah susulan selepas proses pendaftaran berkenaan selesai.
"Ini adalah bidang kuasa KDN dan kita tunggu proses pendaftaran itu selesai untuk kita susun serta aturkan semula tindakan yang perlu diambil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SmartSel Sdn Bhd dan PG LinkaranFibre Sdn Bhd serta penyempurnaan projek Fiberisasi-Cyberjaya di sini pada Isnin.
Program DPP bermula pada 1 Januari lalu bertujuan menguruskan pendaftaran maklumat biometrik, tapisan keselamatan serta proses penentuan dan pengesahan status migran yang memohon perlindungan sementara di negara ini.
Fasa pertama program ini memberi tumpuan kepada tahanan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di seluruh Semenanjung Malaysia dengan jumlah keseluruhan 4,010 orang telah didaftarkan.
Fasa 2 Program DPP melibatkan pendaftaran pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan yang mengaku sebagai pelarian di luar DTI dirancang bermula pada separuh kedua tahun ini.
Mengulas lanjut Amirudin berkata, kerajaan negeri pada masa sama perlu mengambil pendekatan seimbang antara aspek kemanusiaan dan keperluan penguatkuasaan bagi mengelakkan masalah sosial yang lebih besar.
"Di pihak negeri, kita tidak boleh memberi lesen atau kebenaran tertentu kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kita.
"Namun, kalau kita halau semua sekali gus, akhirnya mereka akan melarat di tepi jalan dan boleh menimbulkan masalah sosial lain," ujar beliau.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan Selangor perlu mencari keseimbangan dalam menangani isu berkenaan.
Beliau berkata, isu individu tanpa kerakyatan bukan hanya membabitkan etnik Rohingya semata-mata, sebaliknya turut melibatkan kumpulan lain yang memerlukan penyelesaian secara menyeluruh.
Jelas Amirudin, sebarang usaha penghantaran pulang juga memerlukan kerjasama serta persetujuan kerajaan negara asal selain tindakan di peringkat Persekutuan.
"Seboleh mungkin kita mahu menyelesaikan isu ini dengan baik, namun proses penghantaran pulang memerlukan persetujuan kerajaan negara mereka sendiri.
"Sebab itu penyelesaian isu ini perlu dibuat secara bersama antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan," tambah beliau.