BAITULMAQDIS - Menteri Keselamatan Negara Israel berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir mencetuskan kontroversi selepas menggesa tentera rejim membunuh 30 hingga 40 rakyat Palestin di Gaza setiap malam, termasuk meluaskan sasaran melebihi individu yang dianggap ancaman ketika itu.
Kenyataan tersebut dibuat ketika Ben-Gvir berbual dengan bekas tawanan Israel di Gaza, Rom Braslavski dalam satu episod audio siar yang kembali tular pada Ahad dan dikongsi secara meluas media Palestin.
Menurut laporan Al Jazeera dan Associated Press (AP), Ben-Gvir berkata, operasi Israel tidak seharusnya hanya menyasarkan individu yang menimbulkan ancaman pada sesuatu ketika.
"Ada orang di sana yang tidak layak hidup. Mereka tidak sepatutnya hidup. 'Mereka bukan manusia'," katanya ketika menggesa pembunuhan bersasar terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Ben-Gvir yang merupakan anggota Kabinet Keselamatan Israel bagaimanapun tidak mempunyai kuasa secara langsung untuk mengarahkan tentera melancarkan serangan.
Namun, kedudukannya dalam Kabinet keselamatan membolehkan beliau terlibat dalam perbincangan yang membentuk dasar perang dan keselamatan Israel.
Beliau turut menyuarakan bantahan terhadap keputusan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk mengurangkan serangan ketenteraan di Gaza susulan gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa.
Sebaliknya, Ben-Gvir mahu pembunuhan bersasar dilaksanakan semula dan diperluaskan.
Mahu Palestin tinggalkan Gaza
Dalam perbualan sama, Ben-Gvir sekali lagi menggesa rakyat Palestin didorong meninggalkan Gaza secara kekal selain menyokong pembinaan penempatan Israel di wilayah tersebut.
Beliau turut mendakwa 'seluruh Gaza adalah milik kami', pendirian yang pernah disuarakannya beberapa kali sebelum ini.
Pakar undang-undang antarabangsa sebelum ini memberi amaran bahawa pemindahan penduduk secara besar-besaran sama ada secara paksa atau dirancang boleh dikategorikan sebagai pembersihan etnik.
Ben-Gvir turut berjanji akan berusaha membolehkan Braslavski terlibat secara peribadi sekiranya hukuman mati dilaksanakan terhadap tahanan Palestin yang disabitkan kesalahan melakukan serangan maut terhadap warga Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan Israel telah membunuh lebih 1,250 rakyat Palestin sejak gencatan senjata bermula pada Oktober lalu.
Ben-Gvir sebelum ini berulang kali mencetuskan kecaman antarabangsa berhubung kenyataan serta dasarnya terhadap rakyat Palestin dan tahanan Palestin di penjara Israel. - Agensi