Malaysia #QuranHour 2026: Surah Al-Muzammil, Al-Balad relevan dengan dunia sekarang

Iklan
Fazrul (kanan) ketika menjadi pentaddabur pada Majlis Taklimat Sinergi Media Sempena Malaysia #QuranHour 2026 di Kompleks Karangkraf di sini, hari ini.

SHAH ALAM – Surah Al-Muzammil dan Al-Balad yang diketengahkan dalam Malaysia #QuranHour 2026 dilihat relevan dengan keadaan masyarakat hari ini, berdepan dengan pelbagai tekanan kehidupan.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, mereka kadangkala keliru untuk mencari penyelesaian apabila berdepan isu pekerjaan, keluarga, politik, ekonomi mahupun perang.

Iklan
Iklan

“Situasi sekarang kritikal, kita bawakan surah ini disebabkan manusia ataupun masyarakat kadang-kadang keliru sebenarnya nak cari apa.

"Contohnya ketika 'overwhelmed' ataupun rasa macam tertekan dengan isu kerja, keluarga dan sebagainya, mereka tak tahu nak mula daripada mana. Tapi sebenarnya mula sahaja dengan pencipta yang sememangnya sudah tahu siapa kita,"ujarnya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat Sinergi Media Sempena Malaysia #QuranHour 2026 di Kompleks Karangkraf di sini, hari ini.

Malaysia #QuranHour 2026 yang akan diadakan di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 pada 30 Ogos ini bertemakan 'Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera'.

Iklan

Program anjuran Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) itu mengetengahkan tanda pagar #BuatKeranaAllah, #MindsetAlQuran, #BacaFahamAmal dan #OperatingSystemAlQuran

Kempen tahun ini berpandukan gandingan Surah Al-Muzzammil, Surah Al-Balad dan Surah Al-Baqarah selain mendapat kerjasama Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan 2026, Kementerian Komunikasi Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai penaja utama.

Menurut Fazrul, kedua-dua surah itu juga membawa mesej berkaitan usaha membina negara, termasuk tanggungjawab mereka yang sudah berjaya untuk membantu golongan yang masih dalam kesusahan.

Jelas beliau, biasanya apabila orang yang pernah susah sudah senang, dia tidak mahu membantu orang susah kerana merasakan sudah banyak berkorban dan sebagainya.

“Kalau seseorang itu pernah susah kemudian dia senang, dia mesti membantu orang yang susah. Barulah satu ekosistem negara itu bagus.

“Cuma cabarannya, apabila kita mahu membantu orang susah, kita kadang-kadang tidak kuat. Jadi, cara untuk menguatkan diri atau membina kapasiti melalui Surah Al-Muzammil ialah dengan membiasakan diri bangun pada waktu malam.

"Mengapa bangun pada waktu malam? Kerana siang adalah masa untuk membantu orang. Malam itulah masanya untuk kita bangun dan berfikir dengan panduan al-Quran," ulasnya.

Beliau berharap Malaysia #QuranHour ini sampai kepada masyarakat terutama kepada semua pemimpin.

"Menguruskan organisasi dan negara bukan sesuatu yang berlaku secara automatik. Kita perlu menggunakan kapasiti dan kemampuan diri.

"Kita sudah ada sumber daripada langit, daripada pencipta. Jadi, daripada kita pergi mencari formula sendiri, lebih baik kita gunakan formula al-Quran," ulasnya.