SUKMA 2026: Dari tempat ke-11 ke puncak podium, Dzul Darwisy bangkit bergelar juara

Iklan
Atlet Kelantan, Dzul Darwisy Adam Khairul Aswari beraksi dalam acara lompat tinggi lelaki akhir pada SUKMA 2026 Kompleks Sukan UPM, pada Isnin. Foto Bernama

SELEPAS sekadar menamatkan saingan di tempat ke-11 pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dua tahun lepas, atlet lompat tinggi Kelantan Dzul Darwisy Adam Khairulaswari bangkit mencipta peningkatan ketara apabila muncul juara pada edisi Selangor 2026 di sini, pada Isnin.

Beraksi di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dzul Darwisy melepasi ketinggian 2.09 meter (m) untuk meraih pingat emas sekali gus menghadiahkan emas kedua Kelantan dalam acara olahraga pada temasya sukan dwitahunan itu.

Iklan
Iklan

Dua wakil Kedah, Muhamad Nawawi Mohamad dan Muhammad Naufal Zulkifli masing-masing meraih perak dan gangsa selepas mencatat 2.07m dan 2.04m.

Lebih manis, kejayaan itu merupakan kemenangan pertama Dzul Darwisy di pentas kejohanan utama peringkat kebangsaan.

Iklan

"Jadi ini kemenangan pertama saya di SUKMA, berkat doa ibu bapa, kawan-kawan dan semua yang mendoakan saya,” kata atlet berusia 18 tahun itu ketika ditemui selepas final.

Turut hadir menyaksikan acara final itu adalah bekas jaguh lompat tinggi kebangsaan Lee Hup Wei yang kini berkhidmat sebagai jurulatih pelapis kebangsaan.

Iklan

Pencapaian terbaik Dzul Darwisy sebelum ini ialah tempat ketiga pada MSSM 2023 ketika di Tingkatan Tiga.

Beliau mengakui prestasinya tidak banyak meningkat sejak tempoh itu sebelum menunjukkan perkembangan lebih positif tahun ini.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan belakang sepanjang pertandingan, namun tetap berpuas hati apabila memperbaharui catatan peribadi terbaik daripada 2.03m kepada 2.09m meskipun sasaran asalnya antara 2.13m hingga 2.15m.

Beliau kini menyasarkan untuk melepasi 2.16m bagi meningkatkan peluang melayakkan diri ke Sukan SEA tahun depan sebelum cuba memecahkan rekod SUKMA 2.21m milik A. Kavee Alagan dari Negeri Sembilan yang dicipta pada edisi 2012 di Pahang. - Bernama