SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin memerintahkan penyanyi rap, Caprice memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM220,000 kepada Ebit Lew kerana memfitnah penceramah bebas itu pada 2023 lalu.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40, perlu membuat permohonan maaf dan memadamkan tujuh kenyataan bersama pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo dalam masa 48 jam.
Hakim, Zuhrina Mohamed Nor juga memutuskan, penyanyi lagu ‘Lenglui’ itu tidak boleh mengeluarkan komen atau membuat kenyataan mengenai Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42, dimasa akan datang.
Dalam prosiding sama, mahkamah menolak tuntutan balas Caprice dengan alasan ia tidak berasas.
Pada 15 September 2023, Caprice yang juga aktivis kemanusiaan dipercayai memuat naik rakaman video yang mana wanita berkenaan dijadikan sebagai tetamu jemputan.
Plaintif mendakwa, rakaman itu antara lain membawa maksud Ebit melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy, selain seorang yang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.
Plaintif mendakwa Caprice selaku defendan pertama secara jahat menerbitkan video berkenaan tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripadanya atau peguam.
Katanya, banyak komen negatif, cacian dan makian didakwa dikeluarkan oleh pengikut akaun YouTube Caprice akibat penerbitan video itu.
Plaintif turut mendakwa kenyataan berbaur fitnah dikeluarkan Caprice dan Mondy yang menyebabkan dirinya dikecam, diejek dan diaibkan.
Pada 29 September tahun sama, polis memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan dakwaan kes gangguan seksual dan fitnah membabitkan Ebit, Mondy serta Caprice.
Dalam prosiding ini, Ebit diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader sementara peguam, Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal hadir bagi pihak Caprice.
Sementara itu, dalam kenyataan Ebit di laman sosial Facebook, beliau mengucapkan kesyukuran di atas kemenangan ini.
“Alhamdulillah syukur pada ALLAH, saya menang saman terhadap Caprice.
“Beliau diperintah memohon maaf atas fitnah dan membayar keseluruhan RM220,000,” katanya.
Dalam pada itu, Caprice dalam hantaran di FB memberitahu akan membuat rayuan berhubung keputusan tersebut.