RADIUM Development Berhad (Radium) meneroka model kehidupan warga emas di Jepun sebagai persediaan memperkukuh keupayaan syarikat dalam menghadapi perubahan demografi dan keperluan masyarakat menua di Malaysia.
Pengarah Urusan Radium, Datuk Gary Gan berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi lawatan kajian strategik ke negara berkenaan menerusi kerjasama dengan penyedia perkhidmatan kehidupan warga emas dan penjagaan berbantu terkemuka, Tokyu E-Life Design Inc. (TELD).
"Lawatan itu memberi pendedahan secara langsung kepada delegasi Radium mengenai model kehidupan warga emas yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk amalan terbaik dalam penyampaian penjagaan bersepadu, pengurusan kemudahan, reka bentuk sejagat, kesejahteraan penghuni, kecemerlangan operasi dan kehidupan berteraskan komuniti.
"Pengalaman itu mengukuhkan kepentingan membuat persediaan dari sekarang bagi menghadapi realiti demografi ketika Malaysia berdepan peralihan ketara selepas negara secara rasmi menjadi masyarakat menua pada tahun 2021," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, landskap demografi Malaysia sedang berubah dan komuniti di negara ini perlu dipersiapkan dengan sokongan kepada individu apabila mereka meningkat usia.
Malah menurutnya, lawatan kajian itu menjelaskan perancangan teliti, operasi berkualiti dan reka bentuk berteraskan manusia dapat digabungkan bagi mewujudkan persekitaran yang membolehkan golongan warga emas hidup secara berdikari, aktif serta bermaruah.
"Jepun diiktiraf secara meluas sebagai peneraju global dalam menangani cabaran populasi semakin menua, menjadikannya persekitaran pembelajaran yang amat bernilai.
"Objektif kami bukan sekadar meniru pencapaian di sana, sebaliknya memahami prinsip dan amalan terbaik yang boleh disesuaikan secara bertanggungjawab dengan keperluan unik Malaysia.
"Sebagai pemaju, kami percaya pembelajaran berterusan adalah penting dalam membina komuniti kekal relevan dan responsif terhadap generasi akan datang," jelasnya.
Sepanjang program berkenaan, delegasi Radium dibawa meneliti bagaimana Jepun mengintegrasikan perumahan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan gaya hidup bagi menyokong penghuni melalui pelbagai peringkat usia.
Penekanan diberikan kepada kebolehcapaian sejagat, reka bentuk komuniti berorientasikan kesejahteraan, program penglibatan penghuni, pengurusan operasi, pembangunan tenaga kerja dan kualiti perkhidmatan.
Dalam pada itu, lawatan kajian berkenaan menjadi fasa pertama program pemindahan pengetahuan berterusan Radium bersama TELD yang akan diteruskan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Program itu merangkumi pemindahan pengetahuan, libat urus teknikal, pengenalan operasi serta kerjasama dengan fungsi korporat utama termasuk undang-undang, sumber manusia, jualan, pemasaran dan kewangan.