GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa wujud kelompok elit atau ' Epstein Class' Malaysia yang saling melindungi dan membolehkan penyelewengan serta kegagalan tadbir urus berlaku dalam Lembaga Tabung Haji (TH) sehingga institusi berkenaan berdepan kerugian besar.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dinyahklasifikasikan mengenai TH bukan sekadar menunjukkan kelemahan pentadbiran atau strategi pelaburan, sebaliknya mendedahkan apa yang didakwanya sebagai pecah amanah jenayah secara sistemik dan terancang.
Menurutnya, isu berkenaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada beberapa individu yang menjadi figura utama sebaliknya persoalan lebih besar ialah siapa yang membina, mengendalikan dan melindungi rangkaian yang membolehkan perkara itu berlaku.
“Kelompok ini bukan satu entiti sebaliknya melibatkan pelbagai pihak dalam sektor profesional dan institusi awam yang didakwa menjadi pemboleh kepada kegagalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohideen berkata, kelompok berkenaan merangkumi sarjana dan pentadbir agama, pakar perundangan, akauntan, pengawal selia serta pegawai kerajaan selain golongan elit politik yang berkuasa ketika itu.
Katanya, pihak berkenaan didakwa menyediakan legitimasi, menyusun transaksi kewangan yang kompleks, meluluskan pelaburan berisiko serta gagal menjalankan tanggungjawab fidusiari dengan sewajarnya.
Beliau menambah, tindakan sedemikian memberi kesan besar kepada pencarum TH yang terdiri daripada rakyat biasa termasuk pekerja kilang, petani dan pesara yang menyimpan wang sedikit demi sedikit bagi menunaikan ibadah haji.
“Tabung Haji diwujudkan sebagai institusi pembangunan yang mulia untuk mengurus simpanan rakyat Malaysia yang mahu menunaikan kewajipan haji.
“Sebarang tindakan yang menjejaskan integriti kewangan institusi ini bukan sahaja mengkhianati kepercayaan pencarum malah mencalarkan kepercayaan terhadap institusi negara,” katanya.
Sehubungan itu, CAP menggesa semua ahli Parlimen tanpa mengira kerajaan atau pembangkang mengeluarkan kecaman secara bersama terhadap pihak yang didakwa menjadi pemboleh kepada kegagalan tadbir urus TH.
Mohideen berkata, TH adalah milik umat Islam dan rakyat Malaysia bukannya milik mana-mana parti politik.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan memastikan siasatan dan tindakan undang-undang dibuat terhadap semua pihak yang terbabit sekiranya terdapat bukti kesalahan jenayah.
“Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara perlu menjejaki setiap pihak yang terlibat sekiranya wujud bukti kukuh termasuk mereka yang merangka transaksi, meluluskan keputusan atau menjadi perantara.
“Mereka yang didapati bersalah perlu dikenakan tindakan mengikut undang-undang dan hasil yang diperoleh secara tidak sah perlu dipulangkan,” katanya.
Beliau menambah, kegagalan membongkar keseluruhan rangkaian yang membolehkan salah guna berlaku hanya akan membuka ruang kepada institusi awam lain untuk berdepan nasib sama pada masa depan.