GEORGE TOWN - Cadangan pembinaan terowong dasar laut atau Jambatan Ketiga Pulau Pinang masih dikekalkan dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) Pulau Pinang namun pelaksanaannya bergantung kepada jadual dan keputusan kerajaan.
Cadangan jajaran projek berkenaan bermula dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cadangan berkenaan masih berada pada peringkat indikatif dalam RSN dan bukan bermakna ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menurutnya, cadangan berkenaan turut mengambil kira perjanjian yang masih berkuat kuasa antara kerajaan negeri dengan syarikat berkaitan.
“Masih indikatif. Sebab perjanjian masih sah. Kita sudah bagi tawaran kepada syarikat,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RSN 2040 (Kajian Semula) di sini pada Isnin.
Kon Yeow berkata, kedudukan sesuatu projek dalam RSN sebagai indikatif bermakna pelaksanaannya tidak semestinya berlaku serta-merta kerana ia bergantung kepada jadual pembangunan dan pelbagai faktor berkaitan.
“Bila dilaksanakan, ia mengikut jadual. Banyak tempat pembangunan atau zon pembangunan diletakkan secara indikatif sahaja.
“Bilakah ia dibangunkan? Kadangkala tertakluk kepada kerajaan dan kadangkala kepada sektor swasta yang merancang pembangunan atau pembangunan tanah milikan mereka berdasarkan zon-zon kawalan pembangunan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, Pulau Jerejak turut termasuk dalam RSN namun sebahagian besar kawasan pulau itu masih berstatus hutan simpanan kekal.
Katanya, terdapat lebih 32.38 hektar tanah milikan swasta di pulau berkenaan manakala kawasan selebihnya masih dizonkan sebagai hutan simpanan kekal.
“Kalau ada apa-apa projek utiliti atau infrastruktur, masih boleh dipertimbangkan walaupun dalam hutan simpan tetapi bukan pembangunan selain itu.
“Apa yang diumumkan itu melibatkan tanah-tanah milikan swasta dan buka melibatkan hutan simpan kekal di atas Pulau Jerejak,” katanya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, aspek geo bencana turut diberi perhatian dalam perancangan pembangunan negeri bagi memastikan dasar dan strategi pembangunan pada masa hadapan mengambil kira risiko berkaitan bencana.
Bagaimanapun tambahnya, aspek teknikal berkaitan perancangan pembangunan yang mengambil kira faktor seperti gempa bumi dan bencana lain tertakluk kepada kajian serta perincian teknikal.
“Itu teknikal. Memang ada perancangan. Aspek geobencana diberi perhatian dalam konteks dasar-dasar strategi pembangunan untuk akan datang,” katanya.
Mengulas mengenai RSNPP 2040 (Kajian Semula), Kon Yeow mengesahkan dokumen RSN turut disediakan dalam bentuk dalam talian bagi membolehkan orang awam membuat rujukan.
Beliau berkata, orang ramai juga berpeluang mengemukakan pandangan atau komen berkaitan kandungan rancangan berkenaan menerusi saluran yang disediakan.