KOTA BHARU - Demi mahu tampil lebih menonjol dalam kalangan rakan, golongan remaja termasuk pelajar sekolah sanggup berhabis antara RM500 hingga RM15,000 untuk mengubah suai motosikal sehingga hilang identiti asal kenderaan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, trend itu membimbangkan apabila pengubahsuaian dilakukan secara ekstrem sehingga menjejaskan spesifikasi, kawalan dan ciri keselamatan motosikal.
"Paling biasa kita lihat, mereka buat kerana trend, hobi dan mahu lebih menonjol dalam kalangan rakan-rakan dan kebiasaannya melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15.
"Ada juga pelajar sekolah yang terlibat dan paling muda yang dikesan berusia 15 tahun," katanya semasa sidang akhbar Ops Ekstrem JPJ Kelantan di sini pada Isnin.
Mohd Misuari memberitahu, antara pengubahsuaian yang dikesan termasuk sistem ekzos, tayar dan rim, lampu, handle, tempat duduk, swingarm, ECU serta sistem brek.
Ujarnya, kos pengubahsuaian boleh bermula sekitar RM500 bagi modifikasi ringkas, namun ada yang mencecah RM15,000, termasuk sistem ekzos sahaja yang boleh menelan belanja sehingga RM2,000.
"RM15,000 itu bukan semestinya dibayar sekali gus. Mereka beli dan pasang sedikit demi sedikit secara dalam talian sehingga akhirnya terhasil sebuah motosikal yang dianggap sangat hebat oleh mereka.
"Bila sudah diubah suai, mereka mahu menguji kelajuan dan mencari lokasi untuk berlumba, kemudian perkara itu menjadi trend," katanya.
Dalam pada itu, ujar beliau, JPJ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengenal pasti lebih 20 lokasi di Kelantan yang dipercayai menjadi lubuk aktiviti menguji kelajuan, termasuk kira-kira lima lokasi di sekitar Kota Bharu.
Jelasnya, aktiviti berkenaan dipercayai sering dilakukan pada hujung minggu, terutama menghampiri waktu Subuh sekitar jam 3 pagi, dengan kumpulan penunggang boleh mencecah 10 orang atau lebih.
“Kadang-kadang bermula dengan tiga orang, kemudian mereka berkenalan, berkumpul dan 'mengeteh' sebelum aktiviti bermula.
"Kita sudah rangka strategi bersama PDRM dan kenal pasti beberapa lubuk. Amaran kepada semua yang mahu menduga kelajuan, kita tidak akan duduk diam," katanya.
Tegas beliau, pemilik motosikal yang melakukan pengubahsuaian ekstrem boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda hingga RM2,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya selain motosikal boleh disita mengikut kesalahan dan peruntukan undang-undang berkaitan.