KOTA KINABALU - Seorang pemandu kereta maut selepas mengalami kecederaan parah dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Tuaran-Kota Kinabalu, di sini, awal pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.25 pagi itu, lelaki warga Indonesia berusia 46 tahun yang memandu Perodua Viva dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 3.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah bas dan Perodua Viva yang dipandu mangsa.
"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang dipandu mangsa keluar dari jalan susur untuk membuat pusingan U tanpa menyedari kehadiran sebuah bas yang sedang bergerak lurus dari arah pusat bandar menuju ke Inanam.
"Kereta tersebut kemudiannya dilanggar pada bahagian sisi kiri dan terseret kira-kira 15 meter.
"Mangsa mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke HQE II oleh pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia pada jam 3.50 pagi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, katanya, pemandu bas berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kedua-dua kenderaan telah ditahan bagi pemeriksaan lanjut dan pihak polis turut sedang mengesan saksi bebas serta waris mangsa.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Royston Ubak di talian 016-3130153 atau hadir ke balai polis berhampiran," katanya.
Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.