Pemuda Amanah tawar khidmat guaman percuma kepada penerima LOD Asyraf Wajdi

Iklan
Fadhli Umar

JOHOR BAHRU – Pemuda Parti Amanah Negara ( Amanah) menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada mana-mana individu yang menerima surat tuntutan (LOD) daripada bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkaitan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda dan Azri Abdullah berkata, tindakan mengemukakan LOD terhadap individu yang membangkitkan persoalan berkaitan isu Tabung Haji dilihat terlalu drastik dan keterlaluan.

Iklan
Iklan

Menurut mereka, Asyraf Wajdi sebagai bekas Timbalan Menteri Agama dan ahli politik berpengalaman sepatutnya memahami bahawa isu Tabung Haji membabitkan kepentingan awam, khususnya umat Islam di negara ini.

“Sebagai mantan Timbalan Menteri dan ahli politik senior, Datuk Dr Asyraf seharusnya faham bahawa isu Tabung Haji ini merupakan satu isu terkait kepentingan awam, khususnya orang Melayu Islam.

Iklan

“Tindakan Datuk Dr Asyraf yang sibuk menghantar LOD seolah-olah menunjukkan beliau terlalu takut dengan sebarang komen dan kebimbangan yang disuarakan rakyat marhaen,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan peguamnya, Datuk Adnan Seman, menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) bagi memulakan saman fitnah berjumlah RM5 juta terhadap pemilik akaun yang didakwa memfitnah serta memburukkan reputasinya dengan mengaitkannya dengan pelbagai isu berkaitan Tabung Haji (TH).

Iklan

Beliau berkata, LOD berkenaan akan mula disediakan dan diserahkan secara berperingkat kepada pemilik akaun terbabit, bermula petang ini.

Dalam pada itu, Fadhli Umar dan Azri berkata, kritikan atau persoalan yang dibangkitkan rakyat sepatutnya dijawab dengan jelas, tuntas dan berhemah, bukannya melalui tindakan undang-undang.

Pemuda Amanah turut mempersoalkan tindakan Asyraf Wajdi yang didakwa meletakkan gambar seorang individu dalam tindakan berkaitan LOD, walaupun individu terbabit dikatakan tidak menyebut namanya secara langsung.

“Bahkan, tindakan Datuk Dr Asyraf dilihat keterlaluan apabila beliau sendiri bertindak meletakkan gambar seorang individu yang langsung tidak menyebut nama beliau tetapi telah dikongsi oleh individu lain dan menggambarkan seolah-olah individu tersebut telah memfitnah beliau,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda Amanah berkata tawaran khidmat guaman pro bono dibuat bagi membantu rakyat yang menerima LOD, terutama mereka yang hanya meminta penjelasan atau maklum balas daripada Asyraf Wajdi berhubung isu RCI Tabung Haji.

“Kami ambil maklum bahawa ramai yang menerima LOD ini adalah rakyat marhaen dan bukan elit politik yang mampu mempertahankan diri mereka di mahkamah kelak,” katanya.