PERTUMBUHAN ekonomi negara terus berada pada landasan yang baik meskipun berhadapan dengan ketidakpastian ekonomi global. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua melonjak kepada 6 peratus, jauh lebih tinggi berbanding anggaran awal sebanyak 5.8 peratus yang diumumkan pada Julai lalu.
Prestasi ini banyak didorong oleh lonjakan pertumbuhan eksport bersih sebanyak 168.5 peratus pada suku kedua. Sektor utama yang menerajui peningkatan eksport ialah industri berkaitan Elektrik dan Elektronik (E&E), yang berkembang sebanyak 57.4 peratus dan mewakili 48.6 peratus daripada jumlah eksport dalam tempoh tersebut.
Di samping itu, produk seperti petroleum, gas asli cecair (LNG), produk perkilangan berasaskan kelapa sawit serta mesin, peralatan dan alat ganti turut mencatatkan pertumbuhan yang tinggi, masing-masing sebanyak 67.3 peratus, 55.2 peratus, 18.3 peratus dan 20.2 peratus.
Sementara itu, pertumbuhan permintaan domestik kekal stabil pada paras 5.1 peratus berbanding 5.2 peratus pada tempoh sebelumnya. Keadaan ini disokong oleh pasaran buruh yang stabil, aktiviti pelaburan swasta serta perbelanjaan kerajaan yang terus memberikan sokongan kepada prestasi ekonomi secara keseluruhan.
Kadar inflasi pula dilihat terus meningkat kepada 1.9 peratus pada suku kedua berbanding 1.6 peratus pada suku pertama 2026. Namun, peningkatan kadar inflasi itu masih berada dalam unjuran bagi tahun 2026, iaitu sekitar 1.5 hingga 2.5 peratus.
Di samping itu, para peniaga dilihat tidak terus menaikkan harga barangan secara serta-merta. Ini kerana sebahagian daripada mereka masih mampu bertahan dengan mengekalkan harga sedia ada dan sanggup berdepan dengan prospek margin keuntungan yang semakin mengecil.
Keadaan ini didorong oleh faktor persaingan, yang menyebabkan para peniaga perlu berhati-hati dalam menetapkan harga bagi menjaga dan mengekalkan pelanggan sedia ada. Meskipun demikian, ini bukan bermakna para peniaga akan terus mengorbankan margin keuntungan mereka.
Sudah pasti mereka akan menaikkan harga bagi memastikan keuntungan terus terjamin kerana tujuan utama mereka berniaga adalah untuk memperoleh keuntungan.
Secara umumnya, kedudukan ekonomi pada separuh pertama tahun ini adalah baik. Namun, kenaikan kos sara hidup dijangka terus menjadi faktor utama yang akan mencorakkan corak perbelanjaan rakyat Malaysia.
Pertumbuhan kadar upah benar, iaitu upah pekerja yang telah diselaraskan dengan faktor harga barangan dan perkhidmatan, mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan, iaitu 2.2 peratus pada suku kedua berbanding 2.4 peratus pada suku pertama tahun ini.
Ini bererti kuasa beli rakyat dilihat semakin merosot dan keadaan tersebut akan menyebabkan mereka terus berkira-kira dalam membelanjakan pendapatan.
Selain itu, situasi perang di Iran serta status pembukaan Selat Hormuz masih tidak menentu. Oleh itu, harga minyak mentah dijangka terus kekal tinggi berbanding sebelum tercetusnya perang di Iran pada 28 Februari lalu.
Berdasarkan pengamatan ini, ekonomi Malaysia dijangka terus berada dalam keadaan baik pada separuh kedua tahun ini. Risiko seperti harga bahan api yang tinggi serta tarif Amerika Syarikat akan memberi kesan kepada senario ekonomi global.
Namun, dengan dasar ekonomi yang cakna terhadap keperluan rakyat dan peniaga, Malaysia dijangka terus mampu mengharungi cabaran ini dengan baik.
Oleh itu, rakyat disaran supaya terus mendapatkan maklumat yang tepat dan merujuk kepada pihak yang arif agar dapat membuat kesimpulan yang seimbang dalam menilai status ekonomi negara.