Hazarini hasilkan Pizza Geboo Rinie dari dapur rumah

Iklan
Keazaman Hazarini untuk menghasilkan piza mengikut selera tempatan akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan apabila diterima orang ramai

BERMULA dengan pesanan hanya lima piza, perniagaan seorang ibu kepada empat anak kini berkembang sehingga mampu menghasilkan sehingga 200 piza sehari pada hujung minggu.

Hazarini Muhammad, 44, berkata, pesanan pertama diterima ketika perniagaannya masih dijalankan dari dapur rumah selepas seorang rakannya mencadangkan supaya piza berkenaan dijual.

Iklan
Iklan

“Pada mulanya, kawan-kawan yang mencuba piza memberikan komen. Mereka kata piza itu sudah boleh dijual, malah ada yang membantu mengambil pesanan di sekolah tempat mereka bekerja.

“Daripada tempahan pertama sebanyak lima biji, pesanan mula meningkat sedikit demi sedikit.

Iklan

“Kini, saya mampu menghasilkan sekitar 80 hingga 90 biji piza pada hari biasa dan jumlah itu melonjak sehingga 200 biji pada hujung minggu mengikut permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui di kedai piza miliknya di Timurbay Seafront Residence, Sungai Karang di Kuantan.

Hazarini menunjukkan pelbagai variasi piza yang dihasilkan ketika ditemui di premisnya di Timurbay Seafront Resident, Sungai Karang

Iklan

Menurut pengasas piza Geboo Rinie itu, pada peringkat awal hanya tiga perisa ditawarkan iaitu original, mushroom cheese dan black pepper, yang semuanya dihasilkan sendiri dari dapur rumah.

Katanya, operasi kemudiannya dipindahkan ke sebuah bengkel di Taman PSJ sebelum berpindah ke premis kedai, sekali gus membolehkan pilihan menu diperluaskan.

“Bila sudah berpindah ke kedai, kita menghasilkan sehingga 18 perisa yang dijual mengikut saiz iaitu Baby, Mummy dan Daddy, dengan harga antara RM25 hingga RM80.

“Antara menu yang mendapat sambutan termasuk Cheesy Meatball, Beef Pepperoni, Hawaiian Chicken Blackpepper, Tomyam Prawn, Spicy Tuna dan Sambal Hitam Pahang.

“Kita juga ada menu premium seperti Korean Chicken dan Wagyu untuk memenuhi selera pelanggan yang mahukan lebih banyak pilihan,” ujarnya.

Lebih 20 kali uji resipi

Bercerita lanjut, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata, idea menghasilkan piza sendiri tercetus selepas mendapati piza yang dinikmatinya di premis lain kurang menepati cita rasanya.

Dia mengakui mahukan tekstur roti yang lebih lembut, dengan rasa lebih bersos serta gabungan rasa masam dan manis yang sesuai dengan selera pelanggan tempatan.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Hazarini menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri lebih 20 kali, dengan setiap adunan menghasilkan kira-kira lapan biji piza untuk diuji.

Tambahnya, setiap percubaan yang kurang menjadi digunakan untuk mengenal pasti kesilapan dan memperbaiki sukatan bahan sebelum menghasilkan adunan baharu.

“Kadang-kadang terlebih yis, air atau tepung. Saya makan sendiri dan beri kepada kenalan terdekat supaya mereka boleh berkongsi pandangan tentang kekurangannya.

“Daripada situ, kita belajar dan memperbaikinya sehingga mendapat rasa yang benar-benar memuaskan hati. Akhirnya, saya berjaya menghasilkan pelbagai jenis perisa piza,” katanya dengan nada gembira.

Hazarini menyiapkan tempahan pelanggan

Dalam pada itu, maklum balas pelanggan terhadap tekstur roti yang lembut dan gebu turut membentuk identiti perniagaannya sehingga nama Geboo Rinie dipilih.

Menurutnya, pelanggan turut memaklumkan piza berkenaan masih boleh dinikmati walaupun sudah sejuk dan tidak mudah menyebabkan mereka berasa muak.

“Ramai pelanggan kata roti kita lembut dan kadang-kadang mereka makan sampai tidak sedar sudah habis sebiji.

“Bagi saya, paling menggembirakan apabila makanan ini boleh diterima pelbagai golongan, termasuk warga emas yang sebelum ini kurang gemar makan piza,” jelasnya.

Hazarini kini mempunyai kira-kira lima pekerja tetap, selain turut membuka peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar dan penduduk setempat.

Wanita bertubuh kecil itu mengakui pernah berdepan cabaran apabila kos bahan mentah meningkat, menyebabkan keperluan modal pusingan bertambah selepas operasi berpindah ke premis kedai.

Dia turut mengubah kaedah pembelian bahan mentah bagi memastikan modal dapat berpusing dengan lebih cepat, sekali gus mengurangkan risiko krisis aliran tunai.

“Dulu kita beli bahan mentah untuk sebulan, tetapi apabila modal pusingan 'ketat', kita beli untuk seminggu sahaja.

“Kita kaji semula apa yang boleh dikurangkan dan belajar daripada keadaan itu,” ujarnya yang turut menjual secara dalam talian.