Matrade pimpin 26 syarikat Malaysia teroka pasaran Kemboja

Iklan
Abu Bakar

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengetuai 26 syarikat Malaysia dalam Misi Percepatan Eksport (EAM) ke Phnom Penh, Kemboja bagi meneroka peluang perniagaan dan mengukuhkan kehadiran eksport negara di pasaran berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, misi selama empat hari bermula 18 Ogos itu diketuai Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, melibatkan syarikat daripada sektor makanan dan minuman, barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), alat ganti dan komponen automotif serta produk gaya hidup.

Iklan
Iklan

"Misi ini memberi peluang kepada pengeksport Malaysia untuk bertemu bakal pembeli, pengimport dan pengedar, selain mendapatkan pemahaman lebih menyeluruh mengenai keadaan pasaran serta persekitaran perniagaan di Kemboja.

"Ia dibina berdasarkan pencapaian positif penglibatan perdagangan Matrade di pasaran Kemboja sebelum ini," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau menjelaskan, perkembangan itu selari dengan peningkatan ketara hubungan perdagangan Malaysia-Kemboja apabila perdagangan dua hala pada separuh pertama 2026 meningkat 51.1 peratus kepada RM3.32 bilion berbanding RM2.20 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Eksport Malaysia ke Kemboja turut melonjak 40.9 peratus kepada RM2.45 bilion, dengan produk petroleum menyumbang RM941.4 juta, diikuti barangan perkilangan daripada logam (RM453.1 juta), tekstil, pakaian dan kasut (RM237.2 juta), bahan kimia dan produk kimia (RM199.5 juta) serta makanan diproses (RM181.3 juta).

Iklan

"Pada 2025, Matrade mengetuai misi disasarkan membabitkan sembilan syarikat Malaysia yang berjaya mengadakan 104 pertemuan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan menjana jumlah jualan eksport sebanyak RM41.3 juta, melepasi sasaran KPI awal kami sebanyak RM34 juta.

"Berdasarkan momentum kukuh ini, kami hampir menggandakan tiga kali ganda saiz delegasi pada tahun ini kepada 26 syarikat.

"Perluasan ini mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan syarikat Malaysia terhadap pasaran Kemboja serta usaha berterusan kami untuk menghubungkan mereka dengan peluang perniagaan baharu," jelasnya.

Dalam misi selama empat hari itu, Abu Bakar memaklumkan, Matrade turut menganjurkan seminar perniagaan yang akan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Kemboja.

Seminar berkenaan dijangka memberi perspektif kepada syarikat Malaysia mengenai persekitaran perniagaan tempatan, termasuk peraturan perdagangan, prosedur pelepasan kastam, trend pasaran dan peluang komersial.

Ia turut menampilkan penceramah daripada Kementerian Perdagangan Kemboja, Jabatan Am Kastam dan Eksais Kemboja serta Dewan Perniagaan Malaysia di Kemboja.

Selain itu katanya, delegasi Malaysia akan mengadakan pertemuan B2B yang telah diatur dengan bakal pengimport, pengedar dan rakan kongsi perniagaan dari Kemboja.

"Mereka juga akan melakukan lawatan tapak bersasar ke beberapa hab komersial dan pengedaran utama di sekitar Phnom Penh.

"Misi berkenaan bertujuan membantu syarikat Malaysia mendapatkan peluang perniagaan baharu, memperluas pasaran eksport serta mengukuhkan hubungan komersial dengan pemain industri di Kemboja," ujarnya.