KITA menyaksikan evolusi teknologi permainan yang bermula daripada patung plastik ringkas berkembang kepada gajet berkuasa bateri dan akhirnya muncul sebagai peranti kawalan jauh yang semakin canggih.
Kereta kawalan jauh mula diperkenalkan ke pasaran beberapa tahun selepas dicipta pada 1966 diikuti dengan kemunculan kapal terbang mainan kawalan jauh yang sebelum itu hanya dilihat dalam filem dan dokumentari Barat sekitar tahun 1976.
Selepas beberapa dekad, siapa sangka teknologi kawalan jauh yang pada asalnya digunakan untuk tujuan komersial dan awam dalam membantu pelbagai industri mampu berkembang menjadi antara aset ketenteraan paling berbahaya dalam peperangan moden.
Perkembangan sistem tanpa pemandu bermula daripada penggunaan awal belon berisi bahan api oleh tentera Austria pada 1849 sebelum melalui pelbagai transformasi sehingga kemunculan dron bersenjata selepas tragedi 9/11.
Perubahan itu telah mengubah kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) daripada sekadar teknologi percubaan kepada satu aset strategik yang memainkan peranan penting dalam operasi ketenteraan.
Dron telah melalui pelbagai peringkat perkembangan dan pernah berfungsi sebagai bom kawalan radio semasa Perang Dunia Pertama dan platform pengawasan ketika Perang Vietnam (1955–1975).
Selepas 2001, dron menjadi komponen penting dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) khususnya di Afghanistan, Pakistan, Yemen dan Somalia.
Ia digunakan secara meluas untuk pengawasan berterusan dan melancarkan serangan lebih tepat terhadap al-Qaeda, Daesh dan kumpulan militan lain yang dianggap sebagai ancaman kepada Washington selain menjadi sebahagian daripada strategi keselamatan serta operasi antikeganasan yang lebih meluas.
Medan perang abad ke-21 tidak lagi hanya bergantung kepada kereta kebal, jet pejuang atau pasukan infantri.
Sebaliknya, peperangan kini semakin dipengaruhi oleh algoritma, penderia, rangkaian satelit dan UAV yang mampu beroperasi dengan lebih tepat, pantas serta efisien.
Dron telah membuka peluang kepada negara kecil dan kumpulan bukan negara untuk memperoleh keupayaan yang sebelum ini hanya dimiliki oleh kuasa besar.
Perubahan tersebut menyebabkan pasukan tentera di seluruh dunia perlu menyesuaikan strategi, meningkatkan pelaburan dalam teknologi pertahanan antidron dan bersedia menghadapi apabila UAV menjadi semakin dominan dalam operasi serangan serta pertahanan.
Dimensi baharu peperangan pada masa akan datang berpotensi besar menyaksikan medan tempur tidak lagi bergantung sepenuhnya dengan pasukan tentera darat, sebaliknya didominasi oleh robotik, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem autonomi.
Kekang ‘senjata pembunuh’
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar peraturan antarabangsa berkaitan sistem senjata autonomi seperti dron diwujudkan dengan segera berikutan peningkatan risiko berlakunya jenayah perang.
Volker Turk memberi amaran dunia sedang mengalami perubahan besar dalam strategi peperangan apabila dron menjadi ‘senjata pembunuh’ dalam konflik seperti di Ukraine, Republik Demokratik Congo, Sudan, Myanmar dan rantau Asia Barat.
Menurutnya, PBB telah menyuarakan kebimbangan selama bertahun-tahun mengenai pembangunan senjata autonomi yang mampu meragut nyawa pada skala besar dan realiti itu sedang berlaku sekarang.
Turk menegaskan penggunaan UAV secara meluas mewujudkan ‘lingkaran penderitaan baharu’ kepada orang awam di kawasan konflik yang berpotensi menjadi lebih buruk dengan kemajuan pesat teknologi AI.
Tambahnya, senjata autonomi tidak boleh menjadi alasan untuk melakukan kekejaman atau jenayah perang secara berleluasa.
Justeru, Turk menekankan keperluan untuk mewujudkan satu kerangka antarabangsa yang dapat mengawal penggunaan dron bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan teknologi tersebut.
Usaha itu selari dengan perjanjian antarabangsa sedia ada yang diwujudkan bagi mengehadkan penggunaan instrumen berbahaya seperti senjata kimia dan bom berangkai demi melindungi keselamatan manusia.
Info:
Istilah dron pada asalnya merujuk kepada bunyi dengungan lebah jantan dan ia mula digunakan kerana sesetengah UAV menghasilkan bunyi sedemikian.
Dron kecil boleh meniru pergerakan serangga. Sebahagian dron moden yang bersaiz kecil direka berdasarkan konsep alam semula jadi bagi membolehkannya bergerak secara lebih senyap dan sukar dikesan.
Ia berupaya terbang seperti kawanan burung dengan bantuan AI dan boleh dikawal dari jarak ribuan kilometer melalui sambungan satelit.
UAV pernah digelar sebagai ‘pesawat sasaran’ untuk latihan ketenteraan bagi menguji sistem perthanan udara dan kemahiran menembak askar. Ia kini menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ di langit untuk pasukan tentera.
Pengeluaran dron telah mencapai jutaan unit setahun.