SHAH ALAM - Perarakan Pendakian Aqabah dijangka menjadi tarikan utama program Road to Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Muhtadin, Damansara Damai pada 25 Ogos ini.
Program berkenaan diadakan bersamaan 12 Rabiulawal 1448H sempena Festival Maulid dan Forum Perdana Maulidur Rasul.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu mendapat kerjasama pengurusan Masjid Al-Muhtadin, surau-surau, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Damansara Damai.
Road to Malaysia #QuranHour menjadi program pemula di bawah Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan, Kementerian Komunikasi menjelang acara kemuncak Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, kelainan utama program itu ialah acara Perarakan Pendakian Aqabah yang dijadualkan bermula jam 7 pagi dari stesen Petronas berdekatan hingga ke Dewan KAFA Masjid Al-Muhtadin.
“Aqabah yang dipetik daripada Surah al-Balad, ayat 11 hingga 16, bermaksud jalan yang mendaki lagi sukar.
Beliau berkata, sepanjang perarakan itu, selain barangan perarakan masjid, pihaknya akan membekalkan 100 bendera genggam Malaysia dan 10 naskhah al-Quran untuk diserahkan kepada wakil masjid, KRT dan NGO.
“Ini sebagai simbolik bahawa al-Quran perlu sentiasa menjadi pedoman hidup,” katanya.
Setibanya di puncak perarakan, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail bersama qari jemputan akan mengendalikan sesi Tadabbur dan Refleksi Pendakian Surah al-Balad selama 30 minit.
Sesi itu memfokuskan ayat 11 hingga 16 Surah al-Balad bagi menggariskan empat Call to Action atau amalan Golongan Kanan (Ashab al-Maimanah).
Empat amalan itu ialah membantu golongan yang ditindas (Fakku raqabah), memberi makan pada hari kesusahan atau kelaparan (Au it‘amun fi yaumin zi masgabah), memberi sokongan moral dan fizikal kepada anak yatim (Yatiman za maqrabah) serta membantu orang miskin yang terlantar (Au miskinan za matrabah).
Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan penyampaian anugerah The Khadijah Blanket kepada dua tokoh Wanita Bingkas di Damansara Damai.
Anugerah itu menjadi kesinambungan Misi Surah al-Muzzammil yang pernah dilancarkan Tengku Permaisuri Selangor di Masjid Negeri Shah Alam bagi mengiktiraf peranan wanita sebagai pelindung dan penyokong emosi sebagaimana peranan Sayidatina Khadijah r.a.
Festival Maulid 1448H di Masjid Al-Muhtadin turut dimeriahkan pelbagai aktiviti sepanjang hari termasuk kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan, pertandingan memasak, pertandingan azan dan hafazan serta sukaneka.
Program berkenaan turut diisi dengan Forum Perdana Maulidur Rasul pada sebelah malam.