Siapa akan bekerja 20 tahun lagi?

Iklan
Malaysia berdepan satu realiti demografi yang semakin membimbangkan apabila bilangan kanak-kanak terus mengecil. Foto hiasan

MALAYSIA berdepan satu realiti demografi yang semakin membimbangkan apabila bilangan kanak-kanak terus mengecil, sekali gus menimbulkan persoalan lebih besar tentang masa depan tenaga kerja negara dalam tempoh dua dekad akan datang.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kumpulan penduduk berusia 0 hingga 14 tahun terus menyusut daripada 21.6 peratus pada 2025 kepada 21.2 peratus pada 2026, manakala penduduk berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 8.0 peratus kepada 8.4 peratus dalam tempoh sama.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, umur penengah rakyat Malaysia turut meningkat daripada 31.3 tahun kepada 31.7 tahun, mencerminkan negara sedang bergerak ke arah masyarakat menua.

Trend ini mungkin tidak memberi kesan ketara hari ini, namun implikasinya bakal dirasai apabila generasi kanak-kanak yang semakin kecil memasuki alam pekerjaan sekitar 15 hingga 20 tahun akan datang.

Iklan

Jika jumlah bayi yang dilahirkan terus menurun setiap tahun, Malaysia berdepan risiko kekurangan tenaga kerja produktif untuk mengisi pelbagai sektor ekonomi. Lebih membimbangkan, kumpulan warga emas pula terus bertambah. Ini bermakna semakin sedikit golongan bekerja perlu menanggung kos penjagaan kesihatan, kebajikan dan perlindungan sosial bagi populasi yang semakin berusia.

Situasi sedemikian sudah berlaku di beberapa negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan.

Iklan

Persoalannya, mengapa semakin ramai pasangan memilih untuk mempunyai anak yang sedikit atau menangguhkan zuriat?

Kos sara hidup yang semakin tinggi antara faktor utama sering dibangkitkan. Harga rumah, kos pendidikan, perbelanjaan penjagaan anak, yuran taska dan keperluan harian menyebabkan ramai pasangan muda lebih berhati-hati sebelum menambah bilangan ahli keluarga.

Selain faktor ekonomi, perubahan gaya hidup turut memainkan peranan. Ramai memilih berkahwin pada usia lebih lewat, memberi tumpuan kepada kerjaya atau mahu mencapai kestabilan kewangan terlebih dahulu sebelum merancang keluarga.

Persoalan yang wajar dibincangkan ialah sama ada dasar sedia ada cukup mesra keluarga bagi menggalakkan pasangan muda mempunyai lebih ramai anak.

Pelbagai insentif seperti pelepasan cukai, cuti bersalin dan bantuan kepada keluarga telah diperkenalkan, namun persoalannya adakah ia benar-benar mampu mengurangkan beban kos membesarkan anak yang semakin meningkat?

Dalam jangka panjang, kerajaan juga perlu meneliti sama ada kemudahan penjagaan kanak-kanak, waktu kerja fleksibel, perumahan mampu milik serta sokongan kepada ibu bapa bekerja perlu diperkasakan sebagai sebahagian daripada strategi demografi negara.

Malaysia masih mempunyai masa untuk bertindak. Namun setiap tahun yang menyaksikan bilangan kanak-kanak semakin berkurangan bermakna negara semakin hampir kepada titik di mana tenaga kerja baharu tidak lagi mampu menggantikan generasi yang bersara.

Persoalannya kini bukan lagi mengapa Malaysia semakin kurang kanak-kanak, tetapi siapa yang akan menggerakkan ekonomi negara apabila generasi hari ini meninggalkan pasaran pekerjaan dua dekad nanti?

*Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian