KUALA LUMPUR – Dorsett Kuala Lumpur menawarkan bufet hi-tea istimewa pada harga RM69 bersih seorang pada 29 dan 30 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Menerusi Merdeka Hi-Tea Buffet di Checkers Cafe, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai hidangan autentik tempatan yang mengetengahkan kepelbagaian warisan kulinari Malaysia.
Bufet berkenaan berlangsung dari jam 1 tengah hari hingga 4 petang dengan pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk cabutan bertuah, pertandingan pakaian terbaik dan aktiviti mewarna untuk kanak-kanak.
Dalam pada itu, Dorsett Kuala Lumpur turut memperkenalkan pilihan menu baharu bagi Sunday Hi-Tea Rendezvous yang diadakan setiap Ahad di Checkers Cafe.
Menu berkenaan diperbaharui berdasarkan maklum balas pelanggan dengan menampilkan gabungan sajian tempatan dan antarabangsa.
Executive Chef Dorsett Kuala Lumpur, Mohd Azmi Sarginen berkata, pembaharuan itu dilakukan bagi memenuhi cita rasa pelanggan termasuk pengunjung tetap yang terus memberikan sokongan sejak bufet berkenaan diperkenalkan.
“Setiap pembaharuan dibuat berdasarkan maklum balas tetamu. Sunday Hi-Tea masih mendapat permintaan tinggi dan kami mempunyai pelanggan tetap yang kembali untuk menikmati hidangan di sini,” katanya.
Menurutnya, antara sajian yang ditawarkan ialah Sri Lankan Curry, Chilli Crab Mantou, Portuguese Egg Tart, cucur udang rangup, aneka kuih, mini pavlova serta pelbagai pilihan salad dan pencuci mulut.
Beliau berkata, beberapa hidangan 'signature' yang menjadi kegemaran pelanggan turut dikekalkan, selain menu boleh disesuaikan mengikut keperluan bagi acara khas dan majlis berkumpulan.
“Kami bukan hanya mahu menawarkan makanan, sebaliknya pengalaman lengkap kepada pelanggan termasuk perkhidmatan minuman dan hiburan.
“Konsep kami menggabungkan makanan dan hiburan supaya Sunday Hi-Tea menjadi aktiviti hujung minggu yang boleh dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Sunday Hi-Tea Rendezvous yang mampu menampung sehingga 180 tetamu pada satu-satu masa berlangsung setiap Ahad dari jam 1 tengah hari hingga 4 petang.