JAKARTA - Hampir 1,000 gempa susulan direkodkan berikutan gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda Pulau Flores, Indonesia ketika angka korban meningkat kepada sekurang-kurangnya 53 orang manakala ribuan penduduk masih berada di pusat pemindahan pada Ahad.
Timbalan Pencegahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB), Abdul Muhari berkata, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) merekodkan 995 gempa susulan setakat 3 petang waktu tempatan pada Ahad, namun hanya sebilangan kecil dirasai penduduk.
Beliau berkata, gempa susulan yang berterusan, kebimbangan terhadap kediaman yang rosak dan trauma yang masih dirasai akibat gempa bumi serta tsunami Flores pada 1992 menyebabkan sebahagian penduduk memilih untuk terus berada di pusat pemindahan.
Laporan terdahulu menyebut, seramai 9,290 orang masih berada di pusat pemindahan setakat tengah malam Sabtu.
Abdul Muhari berkata, angka korban akibat gempa bumi itu meningkat kepada 53 orang dengan 135 cedera, manakala tiada individu dilaporkan hilang di tujuh kabupaten dan bandar raya yang terjejas.
Beliau berkata pihak berkuasa terus mengemas kini dan mengesahkan data korban ketika operasi tindak balas kecemasan memasuki hari kedua.
Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda pada 4.58 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa di laut, kira-kira 30 kilometer dari Mbay di Kabupaten Nagekeo pada kedalaman 15 kilometer.
Gempa itu mencetuskan amaran tsunami yang ditamatkan BMKG pada 7.31 pagi selepas pencerapan paras laut menunjukkan tiada lagi peningkatan ketara.
Abdul Muhari berkata, usaha kecemasan tertumpu kepada membantu mangsa, menyediakan bekalan asas dan menilai kerosakan kediaman, manakala pihak berkuasa berusaha memulihkan akses serta perkhidmatan penting.
Beliau berkata, jalan yang terjejas akibat tanah runtuh di Reok, Manggarai kini boleh dilalui lori tangki bahan api, manakala bekalan elektrik telah dipulihkan di beberapa kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan.
BNPB turut menubuhkan pos tindak balas di Labuan Bajo dan Maumere, manakala pos logistik diaktifkan di Jakarta, Labuan Bajo dan Maumere bagi memudahkan penghantaran bekalan bantuan, peralatan serta petugas.
Pesawat dan helikopter turut diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menyokong operasi bantuan sekiranya diperlukan, katanya.- Bernama